Friday, June 10, 2011

Dua Pasukan Pro-Tour Hangatkan Saingan LTdL 2012

Status elit Kejohanan Lumba Basikal Le Tour de Langkawi (LTdL) 2012 semakin terserlah apabila dua pasukan pro tour telah mengesahkan penyertaan awal pada edisi ke-17 itu.

Pasukan pro tour tersebut ialah Team Garmin-Cervelo dari Amerika Syarikat dan Pro Team Astana dari Kazakhstan.

Ketua Pegawai Operasi LTdL 2012, Emir Abdul Jalal, berkata kehadiran pasukan pro tour itu sudah pasti akan menarik lebih banyak pasukan handalan dunia menyertai kejohanan itu dari 24 Feb hingga 4 Mac tahun depan.

Sejumlah 22 pasukan termasuk tiga pasukan tempatan -- skuad kebangsaan, Terengganu Pro-Asia Cycling team (TSG) dan Le Tua Cycling Team -- dijangka mengambil bahagian pada perlumbaan itu.

"Ia secara tidak langsung akan menyebabkan kesan domino di mana cabaran pada perlumbaan tahun depan akan menjadi lebih besar," katanya selepas Menteri Beliau dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek mengumumkan laluan LTdL 2012 di Dewan Serbaguna, Kementerian Belia dan Sukan, di Putrajaya semalam.

Turut hadir ialah Presiden Persekutuan Kebangsaan berbasikal Malaysia (PKBM) Abu Samah Abdul Wahab.

Pada majlis itu, PKBM telah memeterai perjanjian penyertaan pasukan Team Garmin-Cervelo yang diwakili oleh pengarah bahagian sukan,Chann McRae dan Pro Team Astana oleh pengarah komersial Dr Aidar Makhmetov.

Bagaimanapun, kedua-dua pasukan itu belum menamakan barisan pelumba tetapi berjanji akan menghantar pelumba terbaik masing-masing.

Emir berkata kehadiran pelumba bertaraf dunia akan dapat memberi peluang kepada pelumba negara mengukur tahap keupayaan serta meningkatkan keazaman mereka untuk mencipta kejutan.

Kejohanan tahun depan melibatkan jarak keseluruhan perlumbaan sejauh 1,414.8km dengan peringkat peringkat pertama acara ujian masa individu sejauh 20.3km di Putrajaya.

Acara ujian masa individu kali terakhir tersenarai dalam perlumbaan LTdL ialah pada tahun 2006.

Peringkat kedua perlumbaan dari Putrajaya ke Melaka melibatkan jarak 151km dan diikuti Melaka-Parit Sulong, Johor (177.6km); Batu Pahat-Muar (169.4km); Ayer Keroh-Pandan Indah (188.4km); Shah Alam-Genting Highlands (108km); Bentong-Kuantan (215.8km), Pekan-Cukai (100.8km); Kemasik-Kuala Terengganu (169.4km) dan berakhir dengan Kuala Terengganu Loop (114.1km).

No comments:

Post a Comment