Ahmad Said melihat rangka manusia di Gua Bewah ketika meninjau kawasan berkenaan tahun lalu. - Gambar UKOM.
Kerajaan negeri yakin Gua Bewah yang menjadi lokasi penemuan rangka manusia berusia 16,000 tahun bakal menjadi daya tarikan pelancong ke Tasik Kenyir selepas ia dibuka kepada orang ramai, tidak lama lagi.
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said, berkata gua tersebut ditutup tahun lalu selepas penemuan rangka berkenaan bagi membolehkan kerja-kerja menggali artifak dilakukan di kawasan berkenaan.
“Pada masa ini kerja-kerja meningkatkan kemudahan untuk para pelancong di kawasan sekitar gua tersebut sedang dilakukan.
“Kita juga sedang menyediakan bekas penutup kaca di kawasan rangka manusia yang tertua di negara ini ditemui, bagi tujuan keselamatan terhadap artifak yang sangat bernilai itu,” katanya pada sidang media di Sri Pentas, Bandar Utama selepas menyempurnkan acara pelepasan peserta program Boat On The Road, semalam
Beliau berkata, artifak berkenaan tidak dialih dari tempat asal ia ditemui, sebaliknya ia akan dilitupi dengan penutup kaca bagi membolehkan pelancong dan pelawat melihatnya di situ.
“Gua Bewah akan dibuka kepada pelawat selepas semua kerja-kerja menaiktaraf kemudahan untuk pelawat disediakan,” katanya.
Menteri Besar berkata, selain Gua Bewah terdapat banyak lagi tarikan baru ke Tasik Kenyir yang disediakan kerajaan negeri, termasuk Taman Burung, Taman Orkid, Taman Herba dan Taman Rama-Rama.
“Manakala kerja-kerja berkaitan cadangan menjajdikan Tasik Kenyir sebagai kawasan bebas cukai sedang giat dilaksanakan pihak berkenaan,” tambahnya.
Beliau yakin dengan segala kemudahan dan promosi yang dilaksanakan kerajaan negeri ini, Tasik Kenyir bakal menjadi destinasi pelancongan utama bukan saja di negara ini, tetapi juga rantau Asia.
Unit Komunikasi Negeri
No comments:
Post a Comment