Jabatan Perikanan Terengganu akan menjalankan operasi memeriksa vesel laut dalam dari Vietnam yang beroperasi di negeri ini, bagi memastikan mereka mematuhi syarat lesen.
Pengarahnya Zakaria Ismail berkata operasi itu yang dijadual bermula Isnin ini selama seminggu, dilaksana ekoran aduan yang menyatakan kebanyakan vesel terbabit tidak mendaratkan ikan di dalam negara.
“Pemeriksaan tersebut akan dijalankan di Pelabuhan Perikanan Chendering dan kita akan hubungi pemilik vesel. Mana yang melanggar syarat kita akan hentikan bantuan minyak subsidi mereka,” katanya kepada Bernama, di Kuala Terengganu, kelmarin.
Selain itu katanya, jabatan tersebut juga akan menentukan sama ada vesel yang melanggar syarat lesen dibenarkan beroperasi.
Antara syarat lesen yang ditetapkan ialah bot laut dalam dari Vietnam harus memasang ‘mobile transceiver unit’ (MTU) dan mendaratkan ikan dalam negara.
Mengulas lanjut, Zakaria berkata buat masa ini terdapat 210 vesel laut dalam di Terengganu yang mana 41 dari Vietnam dan mereka menggunakan tenaga kerja tempatan sepenuhnya.
No comments:
Post a Comment