Thursday, June 9, 2011

Jabatan Perikanan Terengganu Pungut Hampir 90,000 Telur Penyu Agar Sejak Mac Lepas

Jabatan Perikanan Terengganu berjaya memungut hampir 90,000 biji telur penyu agar di negeri ini sejak Mac lepas sehingga sekarang.

Pengarahnya Zakaria Ismail berkata semua telur berkenaan telah ditanam untuk program penetasan dan pembiakan penyu agar di Terengganu.

Setakat ini hanya penyu agar dilapor mendarat, manakala penyu belimbing dan karah masih belum kelihatan, katanya di Kuala Terengganu, semalam.

Sepanjang tahun lepas jabatan itu mengutip 397,262 biji telur penyu agar; 492 biji telur penyu belimbing; 3,480 biji telur penyu karah dan 2,422 biji telur tuntung laut.

Daripada jumlah itu, Zakaria berkata pihaknya berjaya menetaskan 286,503 telur penyu agar, 2,394 biji telur penyu karah dan 1,552 telur tuntung laut.

Beliau juga menjangkakan pendaratan penyu tahun ini merosot berbanding tahun-tahun sebelumnya berikutan pelbagai masalah termasuk gangguan di kawasan pantai.

Untuk tujuan pemuliharaan, kerajaan Terengganu merizabkan 12 kawasan bagi pemungutan telur antaranya Geliga di Kemaman, Cakar Hutan (Kertih), Rhu Kudung, Paka (Dungun), Telaga Papan (Setiu), Pulau Redang dan Pulau Perhentian.

Selain itu, pihaknya juga membeli telur penyu daripada pemajak dengan harga RM2 sebiji bagi telur agar, karah, tuntung laut dan RM5 sebiji bagi telur penyu belimbing, kata Zakaria.

Beliau berkata untuk tahun ini, kerajaan negeri memperuntukkan RM150,000 bagi pembelian telur dan bayaran kepada pekerja.

No comments:

Post a Comment