Jabatan Perikanan Terengganu akan terus membuat pemantauan melalui satelit berhubung kehidupan penyu selepas hidupan itu datang bertelur di negeri ini, meskipun projek terdahulu gagal.
Pengarah Perikanan negeri Zakaria Ismail berkata pemantauan menerusi sejenis peranti satelit yang dinamakan "Platform Transmitter Terminal" (PTT) pernah dijalankan terhadap seekor penyu belimbing pada tahun lepas.
"Namun pemasangan alat pada seekor penyu belimbing yang dinamakan Puteri Rantau Abang pada tahun lepas gagal dan kita hanya dapat mengesan dua kali penyu itu di Pulau Kapas sedang menghala ke utara sama ada ke Vietnam atau Filipina," katanya kepada dihubungi kelmarin.
Kemungkinan yang boleh berlaku adalah alat yang dipasang pada badan penyu belimbing berkenaan tertanggal atau haiwan itu mati, katanya.
Sehubungan itu, Zakaria berkata untuk tahun ini Jabatan Perikanan akan meneruskan kembali program pemantauan melalui alat berkenaan itu kerana ia terbukti mampu memberi banyak maklumat berhubung corak penghijrahan hidupan itu.
Pada tahun ini, Jabatan Perikanan Terengganu juga bercadang memasang alat bernilai RM20,000 seunit, yang diimport, pada badan seekor penyu belimbing.
Katanya pertama kali jabatan mengadakan program itu adalah pada 2000 dengan kerjasama penyelidik Jepun dan diikuti tahun 2005 dan 2010, membabitkan lima ekor penyu.
Zakaria berkata maklumat yang diperoleh hasil daripada program itu mendapati banyak penyu yang bertelur di pantai Terengganu berhijrah ke kawasan Filipina, Vietnam dan Kepulauan Jawa.
No comments:
Post a Comment