Jumlah saman yang dikeluarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu mencatatkan penurunan sebanyak 65 peratus atau 9,290 kes bagi tempoh lima bulan pertama tahun ini berbanding tempoh sama tahun lalu.
Pengarah negeri Abdul Rahman Emang Anyie berkata pada Januari hingga Mei tahun lalu, sebanyak 14,691 saman dikeluarkan berbanding tahun ini hanya 5,401 saman dikeluarkan untuk tempoh sama.
Katanya statistik itu menunjukkan keberkesanan program JPJ seperti membuat sekatan jalan raya dan mengadakan rondaan secara berkala untuk menyedarkan dan mendisiplinkan pengguna kenderaan supaya lebih berhati-hati bagi mengelakkan disaman.
Antara kesalahan paling tinggi yang menyebabkan pengguna jalan raya di negeri ini disaman adalah kesalahan berkaitan cukai jalan tamat tempoh dan tiada lesen memandu dan lesen memandu tamat tempoh.
"Bagaimanapun, kesalahan-kesalahan lain seperti melanggar lampu merah, tidak memakai tali pinggang keledar dan sebagainya tetap kita beri tumpuan sewajarnya," katanya kepada pemberita selepas melancarkan 'Kempen Senyum' peringkat JPJ Terengganu di Dataran JPJ negeri di sini Selasa.
No comments:
Post a Comment