Thursday, June 2, 2011

JPJ Terengganu Lelong 37 Buah Kenderaan

Abdul Rahman Emang Anyie (empat dari kiri) melihat kenderaan lelong di Kuala Terengganu, semalam.

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri hari ini mengutip RM22,280 hasil lelongan 37 buah kenderaan yang tidak dituntut pemiliknya selepas terbabit dengan pelbagai kesalahan mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Pengarahnya, Abdul Rahman Emang Anyie berkata, kutipan hasil lelongan pertama tahun ini, membabitkan 26 motosikal, 9 kereta dan 2 buah lori.

Menurutnya, daripada jumlah itu, 16 motosikal dan sebuah kereta masih boleh didaftarkan.

“Selebihnya pula tidak boleh didaftarkan kerana kesalahan pengubahsuaian nombor casis dan ia dikategorikan sebagai barangan lusuh tetapi sebahagian alat gantinya masih elok untuk digunakan.

“Lelongan awam dilakukan terhadap kenderaan yang tidak dituntut semula oleh pemilik walaupun pihak JPJ telah memaklumkan agar pemilik menuntut semula kenderaan dalam tempoh tiga bulan dari tarikh kenderaan disita,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis lelongan awam kenderaan sita JPJ di Kuala Terengganu, semalam.

Abdul Rahman berkata, tujuan penyitaan adalah perlu untuk mengelakkan berlaku lagi kesalahan seperti lesen kenderaan motor (cukai jalan) tamat tempoh, tiada lesen memandu dan ubah suai kenderaan.

Katanya, seramai 39 orang pembida didapati telah layak untuk membeli kenderaan itu setelah tapisan dibuat melalui dokumen penjualan lelong yang dijual pada harga RM50 sejak sebulan lalu.

“Pembida yang berjaya dikehendaki membayar sepenuhnya secara tunai bagi kenderaan bernilai kurang RM1,000 pada hari ini juga.

“Sementara itu, kenderaan yang bernilai RM1,001 ke atas, pembida perlu membayar 25 peratus dari harga tawaran, manakala bakinya perlu dibayar dalam tempoh 14 hari,” katanya.

Tambah Abdul Rahman, pada tahun lepas, pihaknya berjaya melelong 20 kenderaan daripada pelbagai jenis dengan hasil kutipan RM19,450.

No comments:

Post a Comment