Wednesday, June 15, 2011

JPNT Siasat Sekolah Menengah Paksa Pelajar Tinggal di Asrama

Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT), Razali Daud, berkata pihaknya sedang menyiasat berhubung tindakan sebuah sekolah menengah memaksa pelajar tinggal di asrama.

Dilaporkan, sebuah sekolah menengah meminta pelajar yang akan menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tinggal di asrama mendapat reaksi negatif.

Malah, ada di kalangan pelajar dikatakan meminta berpindah ke sekolah lain kerana tidak mahu tinggal di asrama yang menghimpunkan pelajar yang berpotensi mencapai keputusan cemerlang.

Tindakan sekolah itu juga dikatakan menyebabkan pelajar dikatakan sanggup ditukarkan ke kelas lain daripada berada di kelas terbaik bagi mengelak 'dipaksa' tinggal di asrama.

“JPNT belum menerima laporan berhubung perkara itu tetapi demi menjaga nama baik jabatan, Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Kuala Terengganu diminta menyiasat perkara itu,” katanya ditemui selepas merasmikan Program Elit 2011 Pelajar Praufniversiti Daerah Kuala Terengganu di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Nilam, Kuala Terengganu, kelmarin.

"Kita tidak wajibkan pelajar tinggal di asrama jika mereka boleh belajar di rumah dengan selesa dengan diberi perhatian oleh ibu bapa atau keluarga dengan baik. Tetapi kalau pelajar tinggal jauh dari sekolah atau masalah keluarga yang besar sehingga berlaku gangguan untuk belajar, ia eloklah tinggal di asrama.

"JPNT tidak pernah mengeluarkan arahan kepada mana-mana sekolah selain sekolah berasrama penuh untuk memastikan pelajar tinggal di asrama yang disediakan," katanya.

Hadir sama Setiausaha Agung Gabungan Pendidikan Melayu Terengganu (GAGASAN), Syed Anwar Syed Mohamad serta 45 pelajar Tingkatan Enam terbaik daerah ini yang mempunyai potensi mendapat semua A dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2011.

Razali berkata, jika pihak sekolah mahu pelajar tinggal di asrama dengan matlamat memastikan pelajar mendapat bimbingan terbaik hingga menjadi pelajar cemerlang, tetapi ia perlu dilakukan dengan cara betul dan kerelaan hati pelajar, bukannya dilakukan secara ugutan menukar kelas seperti didakwa.

"Bagi saya hubungan pelajar dengan keluarga amat kuat dan kalau pelajar itu lebih selesa tinggal di rumah bersama ibu bapa, kita terima dengan baik tapi sekiranya diminta tinggal di asrama untuk mengikuti sesuatu kem itu mesti diikuti," katanya yang kesal kerana kemelut antara ibu bapa, pelajar dan sekolah itu tidak sepatutnya terjadi.

Beberapa ibu bapa pelajar yang tidak mahu dikenali berkata, pengurusan sekolah dikatakan bertindak sedemikian selepas tidak ramai pelajar memilih tinggal di asrama.

“Kita khuatir tindakan pengurusan sekolah akan menjejaskan tumpuan pelajar terhadap pelajaran apabila turun ke kelas lebih rendah walaupun sebelum ini berada dalam kelas pertama.

"Pelajar yang dipaksa tinggal di asrama dikatakan mendapat bimbingan intensif guru untuk mencapai keputusan cemerlang," kata seorang bapa pelajar.

Berita Harian

No comments:

Post a Comment