Tuesday, June 14, 2011

JPT Proses 408 Permohonan Lesen Sampan, Periksa Lesen 300 Bot Pukat Tunda

Jabatan Perikanan negeri Terengganu kini sedang menyemak dan memproses 408 permohonan daripada nelayan pantai untuk mendapatkan lesen sampan secara automatik selepas diumumkan kerajaan baru-baru ini.

Pengarahnya, Zakaria Ismail berkata, jabatan sekarang sedang menyemak senarai yang dikemukakan oleh Persatuan Nelayan Negeri Terengganu untuk kelulusan lesen berkenaan.

"Sebelum kita keluarkan lesen kepada nelayan pantai, kita perlu menyemak terlebih dahulu adakah mereka betul-betul nelayan atau awak-awak kepada nelayan lain, telah mendapat elaun sara hidup sebanyak RM200 sebulan dan mereka mempunyai kad nelayan.

"Kalau mereka cukup syarat seperti yang ditetapkan itu, kita akan keluarkan lesen untuk mereka,” katanya di Kuala Terengganu, semalam.

Pada 2 Jun lepas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar ketika melawat Terengganu, mengumumkan semua nelayan pantai akan memperolehi lesen secara automatik kerana kerajaan berhasrat untuk menolong awak-awak menjadi nelayan sendiri.

Zakaria berkata sebelum ini jabatan telah mengeluarkan 1,396 lesen sampan kepada nelayan pantai di Terengganu.

Katanya, mulai tahun ini juga nelayan berkenaan dibenarkan memperbaharui lesen untuk tiga tahun sekali bagi memudahkan mereka.

Sementara itu jabatan berkenaan juga akan memeriksa kira-kira 300 bot pukat tunda laut dalam kelas C-2 dan bot tunda kelas C yang menggunakan khidmat anak kapal dari Vietnam di semua jeti di seluruh negara, dalam operasi lima hari yang bermula semalam.

Ketua Cawangan Operasi, Bahagian Perlindungan Sumber agensi itu, Mohd. Mokhtar Mahamud berkata tumpuan utama pemeriksaan adalah untuk mengesan sebarang penyalahgunaan subsidi diesel, pengubahsuaian secara haram bot tunda serta pencabulan hak lesen memancing.

Beliau berkata, sebarang perlanggaran peraturan akan mengakibatkan lesen-lesen memancing digantung atau ditamatkan di bawah Akta Perikanan 1985.

"Kami juga akan memeriksa untuk sebarang kejanggalan pekerja-pekerja dari aspek visa bekerja serta dokumen-dokumen peribadi mereka,” katanya.

Selain itu beliau turut mengingatkan semua syarikat yang terlibat untuk bekerjasama dengan Jabatan Perikanan.

No comments:

Post a Comment