Mahkamah Majistret di Kuala Terengganu semalam membebaskan seorang lelaki yang sebelum ini ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Terengganu untuk membantu siasatan berhubung skandal mengatur perlawanan bola sepak melibatkan pasukan Piala Presiden T-Team.
Lelaki berumur 50-an itu bagaimanapun ditahan sejurus keluar dari bangunan mahkamah oleh pegawai SPRM dari Putrajaya di perkarangan Kompleks Mahkamah Kuala Terengganu untuk siasatan kes lain.
Suspek yang merupakan ahli perniagaan, ditahan di Seremban, Negeri Sembilan pada 8 Jun lepas dan dibebaskan oleh Majistret Noradila Ab Latif setelah tempoh tahanan remannya berakhir Ahad.
Menurut peguam suspek, Alias Abdullah, anak guamnya ditahan mengikut Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.
Alias berkata anak guamnya dibebaskan setelah pihak SPRM Terengganu berpuas hati dengan siasatan berkaitan sogokan dan sindiket perjudian bola sepak yang melibatkan pemain pasukan itu.
Media tempatan sebelum ini melaporkan seorang bekas jurulatih pasukan Piala Presiden T-Team membuat pendedahan berhubung amalan rasuah dan mengatur perlawanan yang berlaku dalam pasukan itu tahun lalu.
Dalam laporan terbabit, bekas jurulatih itu mengaku telah menerima rasuah sehingga mencecah ribuan ringgit bagi mengatur perlawanan melibatkan pasukan Piala Presiden T-Team.
No comments:
Post a Comment