Sepuluh lagi baki pingat emas menjadi rebutan kontinjen dalam temasya yang bakal menutup tirai secara rasmi hari ini.
Semalam, Terengganu mengukuhkan penguasaan dalam sukan air bagi temasya Sukan Malaysia (Sukma) Ke-14 Kuala Lumpur apabila membolot lima daripada sembilan pingat emas yang ditawarkan bagi acara mendayung, sejak kelmarin.
Terbaru, tiga lagi pingat emas dikutip kontinjen Terengganu bagi acara mendayung yang melabuh tirai semalam.
Terengganu merangkul dua emas menerusi acara mendayung yang berlangsung di Kompleks Sukan Air, Presint 6, kelmarin.
Emas pertama Terengganu dimenangi Che Ku Nurulasma' Ku Abdullah yang mengungguli acara scull perseorangan wanita dengan catatan masa 9 minit 43.12 saat.
Wakil Selangor Fatin Asilah Paisal yang melakukan 9 minit 49.02 saat membawa pulang perak manakala Siti Halijah Mat Puji (10 minit 3.17 saat) dari Wilayah Persekutuan meraih gangsa.
Che Ku Nurulasma' ketika ditemui Bernama, berkata beliau tidak menjangka dengan kemenangan itu kerana baru dua bulan menceburi sukan mendayung dan berlatih bersama anggota pasukan yang lain.
"Sebelum ini saya merupakan atlet simpanan pasukan kanu Terengganu. Pengurusan meminta saya mencuba 'rowing' dan alhamdullilah melalui sukan ini saya dapat bermain di Sukma (Sukan Malaysia) dan dapat pula menang emas," katanya.
Kemenangan kelmarin itu juga membuatkan gadis berumur 18 tahun itu lebih bersemangat untuk terus bersama sukan mendayung.
"Saya rasa saya boleh pergi jauh dalam sukan ini. Jika boleh saya mahu mewakili pasukan kebangsaan dan mencapai kejayaan di peringkat antarabangsa," kata anak kelahiran Chendering, Terengganu itu.
Satu lagi emas disumbangkan pasukan berempat lelaki (lightweight) Terengganu menerusi gandingan Muhammad Syazwan Abdul Aziz, Mohd Syazwan Hassan, Muhammad Hazman Ngah dan Wan Mohd Taufik Mukhtar.
Pasukan itu mencatat 7 minit 17.96 saat untuk mengatasi skuad Johor (7 minit 25.96 saat) dan Selangor (7 minit 38.14 saat).
Jurulatih Terengganu Mohd Shahrol Mat Saad menyifatkan kemenangan hari ini sebagai hasil semangat berpasukan dan komitmen tinggi yang diberikan anak buahnya.
"Sasaran kami adalah tiga emas. insya-Allah, besok masih ada lima acara lagi dan berdasarkan prestasi hari ini (semalam), saya yakin sasaran tersebut dapat kami capai," katanya.
Pencapaian gemilang skuad mendayung menjadikan jumlah kutipan pingat emas meningkat kepada 28, manakala tujuh pingat perak dan 12 pingat gangsa .
Sementara peratusan kutipan pingat emas keseluruhan yang diraih kontinjen Terengganu bertambah kepada 21.71 peratus.
Manakala dua lagi pingat emas yang menjadi pertaruhan Terengganu adalah menerusi acara softball lelaki dan wanita dalam perlawanan akhir yang bakal berlangsung pagi esok.
Kedudukan Terengganu dijangka kekal berdasarkan kepada senario semasa, termasuk perkembangan kontinjen Selangor yang mengekori rapat Terengganu untuk berada di tangga kedua.
Selangor dijadualkan bertanding dalam empat lagi acara akhir yang menawarkan empat pingat emas, masing-masing tiga acara semalam dan satu acara lagi berlangsung hari ini.
Selangor yang mendominasi acara di kolam renang memintas Johor dengan kutipan 23 emas, 17 perak dan 27 gangsa, diiikuti Johor di tangga ketiga dengan 19 emas, 20 perak dan 10 gangsa.
No comments:
Post a Comment