Friday, June 24, 2011

MB minta penjawat beri perkhidmatan terbaik

Penjawat awam di Terengganu diminta memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat bertujuan mengelak pandangan serong dan tohmahan terhadap mutu sektor berkenaan.

Memperkenalkan slogan `Merakyatkan Pentadbiran & Pembangunan’ dan mengamalkan sistem Sisih, Susun, Sapu, Seragam dan Sentiasa Amal (5S) antara pendekatan yang dilaksanakan bertujuan memberi kebajikan dan keselesaan kepada rakyat.

Menteri Besar, Datuk SeriAhmad Said menyarankan pejawat awam supaya tidak lupa mengamalkan etika mesra, jujur dan bertanggungjawab ketika menjalankan tugas.

“Pendekatan itu cukup penting berikutan mampu menaikkan imej jabatan di kalangan masyarakat,” katanya ketika berucap di Majlis Perasmian Karnival Sukan Pejabat-Pejabat Daerah dan Tanah (Sudata) Terengganu 2011 di Kompleks Sukan Tengku Muhammad Ismail, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Kuala Terengganu, malam kelmarin.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mazlan Ngah, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Rozi Mamat; Pegawai Daerah Kuala Terengganu, Nawawi Wan Ismail dan enam pegawai daerah lain.

Seramai 800 atlit mewakili tujuh Pejabat Daerah dan Tanah di seluruh Terengganu menyertai 14 acara pada kejohanan kali ketujuh itu.

Ahmad Said memberitahu penganjuran sukan seumpama ini mampu meningkatkan tahap kesihatan, mewujudkan semangat tolenrasi dan kerjasama antara penjawat awam.

Katanya, kerajaan negeri akan berusaha mengekalkan kecemerlangan ini selain berazam untuk terus mencipta pelbagai kejayaan dalam pelbagai bidang lain.

Sementara itu perarakan masuk kontijen- kontijen sempena Sudata Terengganu 2011 di Kompleks Sukan Tengku Muhammad Ismail, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Kuala Terengganu memukau kehadiran ratusan penonton.

Rata-rata mereka mengakui ia seolah-olah mini penganjuran Sukan Malaysia (Sukma) berikutan turut mempamerkan tarian kebudayaan dan tembakan bunga api.

Seramai 800 atlit mewakili tujuh Pejabat Daerah dan Tanah di seluruh Terengganu menyertai 14 acara pada kejohanan kali ketujuh itu.

Haji Nawawi berkata, penganjuran acara sukan sebegini secara tidak langsung mampu memupuk nilai yang baik dari segi perhubungan dan persepakatan antara pegawai dan kakitangan di semua peringkat jabatan.

“Antara acara baru yang diperkenalkan dalam karnival kali ini ialah tenpin boling, boling padang, futsal, karom, congkak, paintball dan nyanyian.

“Tujuan penambahan acara kali ini bagi memperkenalkan sukan baru di kalangan atlet di samping mengekalkan permainan tradisional yang hampir ditelan zaman,” katanya.

No comments:

Post a Comment