Malang berganda! Seorang buruh bukan sahaja terpaksa berputih mata apabila niatnya untuk mencuri wayar di dalam Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak tidak kesampaian, malah dia turut mengalami kecederaan yang agak serius setelah dibelasah oleh 21 pengawal keselamatan yang bertugas.
Lebih malang, tertuduh, Che Ismady Azmi Che Wahab, 37, dari Jalan Kubur Kampung Padang Nenas, Kuala Terengganu, berdepan dengan hukuman penjara selama dua bulan jika gagal membayar denda sebanyak RM1,000 selepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di Kuala Terengganu, kelmarin.
Hukuman itu dijatuhkan oleh hakim Nor Azizah Yusof selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan di bawah Seksyen 447 Kanun Keseksaan.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh pada 21 Jun lalu, kira-kira jam 12.30 tengah malam bertempat di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak didapati telah menceroboh masuk ke dalam kawasan stadium dengan niat melakukan suatu perbuatan yang menyalahi undang-undang, tempat yang dimiliki oleh Kerajaan Negeri tanpa kebenarannya.
Namun, perbuatannya disedari salah seorang pengawal keselamatan yang bertugas pada malam itu dan mengerahkan rakan-rakannya yang bertugas pada syif malam tersebut iaitu seramai 21 orang mengepung kawasan stadium terbabit.
Pada jam 2.30 pagi, tertuduh yang cuba keluar dari stadium dapat ditangkap selepas berlakunya pergelutan semasa usaha menangkap tertuduh.
Akibat pergelutan itu, tertuduh cedera iaitu bengkak pada mata kiri, dan luka pada muka serta siku.
Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa, Inspektor V Ravi manakala tertuduh diwakili peguam belanya Mohd Hayyatuddin Muhamad.
Terdahulu, tertuduh melalui peguam belanya merayu agar mahkamah meringankan hukumannya kerana pendapatan bulanannya hanya mencecah RM500 dan mendakwa telah insaf dengan perbuatannya itu.
No comments:
Post a Comment