Friday, June 3, 2011

Penerbangan Sulung KT-Bandung Bermula Semalam (2 Jun)

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said pagi semalam mengetuai rombongan menyertai penerbangan pertama Kuala Terengganu – Bandung yang akan menjadikan dua bandar ini semakin dekat dengan adanya penerbangan terus berkenaan.

Syarikat yang mengendalikan penerbangan terus dari Kuala Terengganu ke Bandung, dengan rasminya memulakan perkhidmatan itu dengan kos sekitar RM1,688 bagi setiap penumpang.

Kos tersebut bukan saja meliputi tempat penginapan, tetapi setiap penumpang juga akan diberi baucer untuk membeli-belah di sebuah gedung perniagaan di Kota Bandung.

Penerbangan terus yang dikendalikan Syarikat Heritage Air akan dimulakan berlepas dari Lapangan Sultan Mahmud Kuala Terengganu, jam 10 pagi semalam menawarkan pakej empat hari tiga malam untuk pelancong dari Terengganu berada di Bandong.

Begitu juga mereka yang datang dari Bandong akan tinggal di Kuala Terengganu selama empat hari tiga malam.

Pada 9 Januari lalu Ahmad Said mengumumkan Kerajaan Terengganu akan mengadakan penerbangan terus dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) ke Bandung, Indonesia dalam usaha menarik lebih ramai pelancong negara itu ke negeri ini.

Menteri Besar itu berkata berkata ia juga sebagai langkah untuk memaksimumkan kemudahan di LTSM yang bertaraf antarabangsa itu.

“LTSM mempunyai landasan ketiga terpanjang selepas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Lapangan Terbang Subang, jadi tidak guna kita mempunyai kemudahan itu jika tidak digunakan sepenuhnya,” katanya.

“Dengan adanya penerbangan terus nanti, penduduk di pantai timur tidak lagi perlu ke Kuala Lumpur untuk ke Bandung, bagaimanapun jika jumlah penumpang tidak ramai dari sini, ia akan melalui Melaka terlebih dahulu,” katanya.

Mulanya penerbangan itu dijangka dapat diadakan akhir Mac atau awal April tetapi hanya menjadi kenyataan semalam.

Sementaran itu selepas melancarkan pejabat Terengganu Pro-Asia Cycling Team di Jalan Pejabat, awal Mei lalu, Menteri Besar berkata kerajaan negeri akan melantik agen bagi mengendalikan tempahan bagi mereka yang ingin menggunakan perkhidmatan itu.

Beliau turut mengumumkan, tempahan untuk penerbangan pertama sudah penuh dan penumpang diberi diskaun di mana mereka hanya perlu membayar RM1,500 seorang.

Pada masa ini syarikat tersebut akan mengadakan perkhidmatan itu dua kali seminggu bagi membolehkan pelancong dari Bandong melawat Terengganu dan sebaliknya.

Bagaimanapun, katanya, perkhidmatan itu boleh ditambah jika ia mendapat sambutan menggalakkan di masa depan.

Menurut laporan Unit Komunikasi Negeri, penerbangan terus dari Kuala Terengganu ke Bandung selepas ini ialah RM1,688 bagi setiap penumpang.

Kos itu sangat berbaloi kerana ia turut merangkumi penyediaan tempat penginapan, malah setiap penumpang juga akan diberi baucar untuk membeli-belah di salah sebuah gedung pernigaan di sana,

No comments:

Post a Comment