Penduduk Pantai Timur Semenanjung khususnya sekitar Kuala Berang, Terengganu berpeluang memeriahkan karnival memancing sambil santai Boat on The Road (BOTR) edisi kedua di Tasik Kenyir yang bermula semalam hingga petang esok.
Mereka yang berkunjung ke tasik itu boleh menyertai pelbagai program menarik anjuran penganjur dan penaja seperti pertandingan memancing, mencuba payung terjun ditarik dengan bot, menaiki Banana Boat dan mengunjungi gerai jualan.
Pengurus Projek Khas Berita Harian, Mohd Mizal Hasbullah, berkata satu pertandingan memancing tebing di persisiran Pangkalan Gawi akan diadakan esok dengan menawarkan hadiah wang tunai RM3,000.
“Juara yang berjaya menaikkan ikan terberat bakal membawa balik wang tunai RM700, kedua (RM500), ketiga (RM300) serta RM50 untuk 10 pemenang. Pertandingan bermula jam 9 pagi hingga 12 tengah hari dan yuran pertandingan RM10 untuk satu joran.
“Pengunjung atau penduduk setempat dijemput memeriahkan pertandingan ini bagi merebut hadiah wang tunai di samping menyaksikan demonstrasi aktiviti sukan air khusus untuk mereka,” katanya.
Mizal menambah, peserta yang menyertai BOTR berpeluang membawa wang tunai RM20,000 sekiranya berjaya menaikkan Arapaima Gigas (ikan naga) atau hadiah misteri bagi tangkapan ikan Kenyir iaitu ikan asal tasik ini.
“Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said ada mengumumkan baru-baru ini peserta yang berjaya menaikkan kedua-dua ikan terbabit bakal menerima habuan seperti yang dijanjikan,” katanya sambil meminta pengunjung tidak melepaskan peluang terbuka itu.
Sementara itu, rakan penaja Boat Explorer melalui kenyataan medianya berkata, pihaknya mengadakan jualan khas iaitu memberi potongan 10 peratus untuk barangan terpilih seperti bot gentian kaca GT Topper berharga antara RM1,450 hingga RM2,300.
Pengunjung yang berminat boleh melawat pameran di gerai di Pangkalan Gawi atau mengunjungi Boat Explore di cawangan terdekat.
Tempoh promosi sehingga 18 Julai depan dan maklumat lanjut boleh kunjungi Boatexplorer.com.my.
No comments:
Post a Comment