Saturday, June 11, 2011

Petronas Chemicals Tinjau Pemerolehan Sesuai

Petronas Chemicals Group Bhd (PCG), pengeluar petrokimia bersepadu utama di Asia Tenggara, berada pada kedudukan "amat kukuh" untuk melaksanakan lebih banyak pemerolehan dengan kedudukan tunai syarikat mencecah RM8 bilion.

"Apabila mempunyai jumlah tunai yang banyak, ia akan membantu dalam usaha mengembangkan perniagaan. Kami akan melaksanakan pemerolehan sesuai yang berpilih," kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, Dr Abd Hapiz Abdullah.

Beliau berkata PCG kini mengadakan rundingan dengan beberapa pihak berhubung cara lain untuk pengembangan, tetapi ini masih "di peringkat amat awal".

"Kami amat fleksibel dalam perbincangan, dan semuanya bergantung kepada bagaimana ia bersesuaian dengan kami dan objektif mengembangkan perniagaan kami secara menyeluruh," kata beliau kepada pemberita yang menyertai lawatan media ke operasi PCG di Kertih, Terengganu, semalam.

Pada 2009, PCG mencapai persetujuan dengan Dow Chemical Company untuk memiliki keseluruhan pegangan dalam Optimal Group of Companies, pada US$660 juta.

Tahun lepas, ia memuktamadkan pemerolehan pegangan 15 peratus BP dan 60 peratus kepentingan masing-masing dalam Ethylene Malaysia Sdn Bhd dan Polyethylene Malaysia Sdn Bhd pada US$363 juta secara tunai.

"Kami dapat memuktamadkan pemerolehan strategik tepat pada masa dan dengan pantas tanpa ke pasaran untuk mendapatkan dana," kata Ketua Pegawai Kewangan PCG Wan Shamilah Saidi

Pada masa ini, "tiada rancangan yang pasti" atau tempoh masa bagi apa yang dikatakan sebagai "pemerolehan sesuai yang berpilih" ini, katanya.

Sementara itu, Abd Hapiz berkata permintaan daripada pengguna Asia Pasifik dalam industri kimia akan mendatar dalam masa 12-24 bulan akan datang disebabkan oleh ketidak tentuan berhubung pemulihan ekonomi.

Beliau berkata China dan India dilihat bertahan "agak baik", dengan permintaan aktif dilihat pada Vietnam dan Indonesia.

"Bencana yang melanda Jepun hanya menjana beberapa permintaan jangka pendek dalam sektor permintaan.

"Permintaan bagi produk kimia terus tinggi di Malaysia dan amat baik. Secara keseluruhan, kami agak selesa," katanya.

PCG merupakan pengeluar metanol keempat terbesar dalam dunia. Ia juga merupakan pengeluar urea ketiga terbesar Asia.

Mengenai keadaan turun naik harga bahan, Wan Shamilah berkata harga gas yang dibayar oleh PCG kepada syarikat induk, Petronas Group, berdasarkan kepada struktur harga tetap dalam kontrak jangka panjang antara kedua-duanya.

Sementara itu, semakan semula tarif gas yang diumumkan oleh kerajaan pada 30 Mei akan memberi kesan minimum terhadap syarikat memandangkan mulai 1 Jun sehingga 31 Dis, PCG akan memerlukan hanya 7.0 juta mmbtu (juta unit termal British).

Baru-baru ini, kerajaan mengumumkan kenaikan harga gas kepada sektor tenaga daripada RM10.70/mmbtu kepadao RM13.70/mmbtu.

No comments:

Post a Comment