Sunday, June 12, 2011

Rais Yatim - Semua Stesen TV Siar Program Bola

Rais menjual setem di dalam Pos Bergerak pada majlis Pelancaran Komuniti 1Malaysia Peringkat Negeri Sabah, Pelancaran Pos Bergerak dan meraikan petugas pilihan raya kecil Parlimen Batu Sapi, Sandakan, dekat Kota Kinabalu, semalam.

Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan akan menamatkan monopoli penyiaran program bola sepak oleh stesen penyiaran berbayar bagi membolehkan ia dapat ditonton rakyat yang tidak mampu melanggani khidmat stesen berkenaan.

Ini akan dilakukan menerusi cadangan pembentukan dasar baru meminta setiap stesen penyiaran bekerjasama menyiarkan rancangan kegemaran rakyat bagi memastikan setiap stesen berpeluang menyiarkan program berkenaan.

Menterinya, Datuk Seri Dr Rais Yatim, berkata cadangan dasar yang akan dilaksanakan tidak lama lagi itu sudah dikemukakan kepada tiga stesen penyiaran utama negara, iaitu ASTRO, rangkaian televisyen Media Prima dan Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Cadangan itu turut dimasukkan dalam lesen penyiaran yang dikeluarkan Suruhanjaya Komunikasi Malaysia (SKMM) sebagai syarat tambahan yang wajib dipatuhi setiap stesen penyiaran.

“Saya akui ketika ini rakyat yang tidak melanggan ASTRO tidak berpeluang menonton program kegemaran ramai seperti sukan sedangkan sebelum ini mereka menikmatinya menerusi siaran televisyen percuma yang dipancarkan stesen RTM atau rangkaian televisyen Media Prima.

“Saya minta maaf bagi pihak kementerian dan berjanji mengubah keadaan ini menerusi pelaksanaan cadangan dasar baru itu tidak lama lagi,” katanya selepas melancarkan Komuniti 1Malaysia, Pos Bergerak Peringkat Negeri Sabah dan meraikan petugas pilihan raya kecil Parlimen Batu Sapi, Sandakan, di Kota Kinabalu, semalam.

Beliau mengulas rungutan rakyat yang tidak dapat menonton siaran langsung perlawanan bola sepak Piala FA dan kejohanan Sukan Malaysia (SUKMA) kerana penyiarannya dimonopoli ASTRO.

Selain itu, Rais berkata, 76 peratus daripada 15,000 rakyat yang ditemubual dalam satu kajian berkaitan kefahaman mereka terhadap konsep 1Malaysia menyatakan mereka memahami konsep berkenaan.

“Walaupun peratusnya agak tinggi, kita belum berpuas hati kerana ia tidak memberi gambaran tepat kefahaman dan penerimaan sebenar rakyat.

“Kita akan meneruskan usaha meningkatkan kefahaman dan penerimaan rakyat terhadap konsep itu dengan mengembangkan lagi penubuhan Komuniti 1Malaysia, khususnya di kawasan bukan Melayu,” katanya.

Beliau berkata, 153 Komuniti 1Malaysia di kawasan bukan Melayu membabitkan 73 kawasan Cina, India (35) dan 45 (kaum lain) juga dicadang diwujudkan di seluruh negara tahun ini dan tahun depan.

Sekarang ada 1,115 Komuniti 1Malaysia di seluruh negara dengan setiap komuniti menerima peruntukan tahunan RM4,000 bagi membiayai kos pentadbiran dan pengurusan serta RM5,000 bagi melaksanakan aktiviti di kawasan masing-masing.

No comments:

Post a Comment