Monday, June 13, 2011

Rebat Hingga RM200 Bagi Pengguna Barangan Elektrik Jimat Tenaga

Kerajaan dijangka memperkenal rebat bagi peti sejuk, alat penyaman udara dan penyejuk bagi pengguna-pengguna yang layak untuk meningkatkan kecekapan tenaga di negara ini.

Di bawah inisiatif ini, pengguna-pengguna yang layak akan diberikan rebat sebanyak RM200 bagi peti sejuk baharu dan RM100 bagi alat penyaman udara. Kedua-duanya merupakan barangan kegunaan isi rumah, manakala penyejuk adalah bagi kegunaan komersial.

Pengumuman tentang rebat itu akan dibuat pada 7 Julai.

Ini dinyatakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Loo Took Gee, pada Taklimat Kemas Kini Kemajuan ETP Enam di Kuala Lumpr hari ini.

Inisiatif yang dibiayai kerajaan ini adalah sebahagian daripada SAVE atau program 'Sustainability Achieved via Energy Efficiency' (Kelestarian yang Dicapai Melalui Kecekapan Tenaga) di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP) untuk meningkatkan kecekapan tenaga di Malaysia melalui lima inisiatif.

Ini menyebabkan kerajaan menanggung kos sebanyak RM50.2 juta pada 2011.

SAVE akan dilaksanakan melalui kerjasama antara Kementerian dengan syarikat-syarikat utiliti, Tenaga Nasional Bhd, Sarawak Electricity Bhd dan Sabah Electricity Sdn Bhd serta syarikat-syarikat pengeluar barangan elektrik yang mengambil bahagian.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, mengumumkan sembilan inisiatif baharu di bawah ETP yang akan menarik pelaburan berjumlah RM2.77 bilion dengan impak Pendapatan Negara Kasar (PNK) sebanyak RM18.67 bilion dan mewujudkan 36,595 pekerjaan baharu menjelang 2020.

No comments:

Post a Comment