Wednesday, June 1, 2011

RM20j Tingkatkan Prasarana PBT Terengganu

Kerajaan negeri memperuntukkan RM20 juta untuk disalurkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negeri ini bagi menyedia dan meningkatkan prasarana sedia ada.

Peruntukan itu adalah bagi membina jalan baru dan melebarkan jalan-jalan sedia ada, membina longkang serta kemudahan-kemudahan lain seperti pasar untuk keselesaan rakyat.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, agihan yang mula dibuat sejak awal tahun lalu itu merangkumi sistem saliran, melebarkan jalan serta membina kemudahan awam di enam buah daerah.

Katanya, ia bertujuan memberi keselesaan kepada penduduk bandar mahupun luar bandar untuk menikmati prasarana yang baik, selesa dan selamat.

"Lawatan ke Dewan Undangan Negeri (DUN) Marang hari ini (semalam) merupakan siri terakhir ke semua daerah untuk melihat masalah berkaitan infrastruktur.

"Kerajaan negeri memperuntukkan kira-kira RM3 juta bagi membiayai pelbagai projek menaik taraf kemudahan jalan raya dan sistem perparitan di seluruh daerah ini yang akan dilaksanakan secara berperingkat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sesi lawatannya bagi meninjau masalah jalan dan sistem perparitan di sekitar daerah itu, semalam.

Ahmad Said turut mengumumkan kelulusan peruntukan RM1.5 juta bagi DUN Rhu Rendang di mana RM1 juta bagi meluruskan sebatang jalan berselekoh di Alur Tuman, Pulau Kerengga yang sering menyebabkan kemalangan maut.

Beliau berkata, peruntukan lain ialah bagi membina dan melebarkan jalan di DUN Alor Limbat dan DUN Bukit Payong masing-masing RM700,000.

No comments:

Post a Comment