Gaji dan bonus akan dipotong.
Itu yang akan menanti pemain bola sepak Terengganu atau T-Team yang didapati sengaja membuat kesalahan sehingga dilayangkan kad merah oleh pengadil dalam satu-satu perlawanan.
Kenyataan tegas itu disuarakan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said bagi memastikan setiap pemain memberi komitmen tinggi kepada pasukan dan tidak menjejaskan semangat juang rakan sepasukan lain.
Malah katanya, perkara sama dilakukan beberapa pasukan serta kelab-kelab profesional luar negara sebagai hukuman ke atas para pemainnya yang menerima kad merah untuk menjaga kualiti perlawanan.
“Pemain untuk pasukan atau kelab bola sepak profesional luar negara takut apabila dapat kad merah kerana kalau mereka terima, bonus serta gaji mereka akan dipotong,” ujarnya ketika ditemui di Kuala Terengganu, kelmarin.
Menurut Ahmad Said, bagi tujuan tersebut, beliau telah mengarahkan Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) bagi menjalankan siasatan ke atas pemain yang melakukan kesalahan sehingga dilayangkan kad merah dalam perlawanan.
“Siasatan ini penting bagi memastikan pemain terbabit tidak melakukan kesalahan dengan sengaja dalam perlawanan,” katanya.
Jelasnya, jika siasatan mendapati pemain sengaja membuat kesalahan dan menerima kad merah, mereka boleh dihukum seperti gaji atau bonus dipotong dan sebagainya.
Kosmo!
No comments:
Post a Comment