Sunday, June 12, 2011

SUKMA: Atlet Sarawak Raih Emas Untuk Tebus Kekecewaan Di SUKMA Terengganu

Pemain Sarawak Kueh Wan May berjaya menebus kekecewaan kepada Ting Hie Phin pada perlawanan akhir perseorangan wanita acara ping pong di Sukan Malaysia 2008 dengan menjinakkan lawan dari Selangor itu pada Sukan Malaysia ke-14 di Kuala Lumpur.

Pada final di Arena Tertutup Majlis Olimpik Malaysia (MOM) di Bukit Jalil, Kueh meraih emas selepas menang dengan mata 4-3 (11-9, 11-7, 1-11, 11-9, 6-11, 6-11, 11-9).

Ting mendapat perak sementara atlet Johor, Ho Ying dan seorang lagi atlet Selangor Lee Rou You, berkongsi pingat gangsa.

Kueh, 20, yang kini menuntut di sebuah kolej swasta di Kuching, berkata pertembungan akhir itu amat sengit dan dia hampir kalah kepada Ting buat kali kedua pada pertemuan kedua mereka selepas edisi di Terengganu pada 2008.

"Namun, strategi dan semangat untuk memecah dominasi Selangor meyakinkan saya untuk bermain dengan baik dan meraih emas untuk Sarawak," katanya selepas perlawanan itu.

Sementara perlawanan akhir acara perseorangan lelaki menyaksikan pertembungan kedua-dua atlet dari Selangor.

Foo Dunley meraih emas untuk menewaskan Chee Kien Ee dengan mata 4-2 (11-5, 11-5, 11-7, 6-11, 5-11, 11-7).
Goh Nai Ngee dari Wilayah Persekutuan dan Muhd Ashraf Haiqal Muhd Rizal dari Kedah berkongsi gangsa.

Pengurus pasukan Selangor, Foo Siang Meng berkata skuadnya hanya mensasarkan tiga emas dari acara ping-pong sebaliknya mendapat empat emas.

Empat emas itu diraih menerusi acara perseorangan lelaki, beregu lelaki, beregu wanita dan berpasukan wanita.

Dua lagi pingat emas dari acara ini, beregu lelaki diraih oleh skuad Wilayah Persekutuan sementara Sarawak mendapat emas dari perseorangan wanita.

"Kejayaan ini adalah hasil dari program pembangunan atlet remaja Selangor dan skuad ini mula ditubuhkan dan bertanding di peringkat nasional sejak 2006," katanya.

No comments:

Post a Comment