Wednesday, June 15, 2011

TADC Labur RM21 Juta Projek Ternakan Ikan Dalam Sangkar

Terengganu Agrotech Development Corporation Sdn Bhd (TADC) melabur RM21 juta dalam bidang ternakan ikan dalam sangkar di Sungai Como, Tasik Kenyir sejak 2007.

Pengerusinya Razali Idris berkata projek itu kini mempunyai kira-kira 2,200 sangkar yang melibatkan kawasan ternakan seluas lebih 10 hektar.

"Sebanyak 200 sangkar pertama dibina pada 2007 dengan kos RM1 juta dan ia berjaya menghasilkan 20 hingga 50 metrik tan sehingga tahun 2009," katanya di Kuala Terengganu, semalam.

Razali berkata anak Syarikat Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) berjaya mengeluarkan 200 metrik tan hasil ikan tahun ini.

Katanya tiga jenis ikan tumpuan projek itu ialah spesies talapia pada 2007, diikuti spesies patin, talapia hibrid dan talapia air tawar.

Beliau berkata buat masa ini, pasaran utama ikan-ikan itu ialah di Lembah Klang, Negeri Sembilan, Ipoh, Johor Bharu dan Kuala Terengganu, dan berkemungkinan dieksport jika bekalannya mencukupi.

Projek tersebut memberi peluang pekerjaan kepada peserta e-kasih, katanya.

Razali berkata TADC juga membuat inisiatif membuka premis jualan di Taman Jaya Chendering, Permint Jaya di sini, dengan menjual empat tan metrik sebulan.

TADC juga sedang berbincang dengan beberapa agensi kerajaan yang lain, yang berminat untuk membuka cawangan, dalam usaha mengembangkan francais kepada usahawan yang berminat, katanya.

Untuk masa akan datang, Razali berkata sasaraan TADC, berdasarkan keupayaan yang ada, untuk mengeluarkan sehingga 100 tan metrik ikan talapia merah dan patin, sebulan.

Beliau berkata pengeluaran projek itu dari semasa ke semasa sentiasa meningkat iaitu pada tahun 2009 sebanyak 85 tan metrik, 96 tan metrik pada 2010 dan 50 tan metrik sehingga Jun 2011.

Razali berkata untuk projek akuakultur, kerajaan negeri meluluskan kawasan seluas 2,800 hektar untuk ternakan ikan dalam sangkar di tasik buatan manusia itu.

Sasaran projek itu ialah untuk memenuhi pengeluaran makanan negara, dan TADC akan menarik seberapa ramai pengusaha untuk melabur dalam bidang tersebut, katanya.

No comments:

Post a Comment