Wednesday, June 1, 2011

Terengganu Antara Pengeluar Tenaga Elektrik Utama Negara Menjelang 2015

Menjelang 2015, Terengganu bakal menjadi negeri pengeluar tenaga elektrik utama di negara ini apabila empangan baru di Sungai Tembat, Hulu Terengganu siap pada tahun berkenaan.

Naib Presiden (Pembangunan) Tenaga Nasional Berhad (TNB) Hussin Othman berkata, kerja-kerja pembinaan empangan kedua di kawasan seluas 6,000 hektar itu kini rancak dijalankan dan apabila siap kelak, ia dijangka mampu menjana sehingga 250 mega watt.

"Dengan siapnya empangan baru itu serta punca tenaga sedia ada iaitu Empangan Sultan Mahmud di Tasik Kenyir dan Stesen Jana Elektrik Sultan Ismail di Paka, negeri ini dijangka mampu mengeluarkan sehingga 1,850 mega watt menjadikan ia sebagai antara pembekal tenaga elektrik utama negara," katanya.

Beliau menyatakan perkara itu pada program TNB bersama pemimpin komuniti peringkat negeri Terengganu di Dungun kelmarin.

Pada 1 Mac lalu, Pengurus Besar Tenaga Nasional Berhad (TNB) Terengganu Md Yuslan Md Yusof berkata projek pembinaan empangan hidroelektrik kedua di Tasik Kenyir bertempat di Sungai Tembat dan Sungai Puah, Hulu Terengganu dijangka dapat disempurnakan mengikut jadual.

Kerja-kerja awal di tapak pembinaankedua-duanya telah dimulakan sejak awal tahun lalu.

“Setakat ini projek pembinaan empangan hidroelektrik kedua di Terengganu ini berjalan lancar dengan mendapat kerjasama dari pihak kerajaan negeri.

“Ia dibuat dalam dua fasa dan dijangka siap sepenuhnya mengikut jadual iaitu pada 2015. Apabila siap, ia mampu menghasilkan tenaga dengan kapasiti 250 megawatt,” katanya .

Beliau berkata kos keseluruhan projek berkenaan mencecah RM1 bilion yang sepenuhnya ditanggung TNB.

Katanya tenaga yang dihasilkan empangan hidroeletrik kedua itu akan digunakan untuk menampung keperluan grid nasional.

Terengganu mempunyai satu lagi empangan, Empangan Hidroelektrik Sultan Mahmud Tasik Kenyir di Hulu Terengganu, dengan kemampuan 400 megawatt.

Negeri itu juga mempunyai satu Stesen Janaelektrik Sultan Ismail di Paka yang mengeluarkan tenaga dengan kapasiti 1,200 megawatt.

Mengenai projek baru TNB di Terengganu, Hussin berkata, TNB akan membekalkan tenaga elektrik kepada dua kilang baru yang akan beroperasi di Teluk Kalong, Kemaman tahun ini.

Katanya kedua-dua kilang berkenaan iaitu kilang besi dan silikon masing-masing memerlukan antara 50 dan 60 megawatt elektrik.

Sementara itu TNB membelanjakan kira-kira RM40.2 juta bagi melaksnakan tujuh buah projek di daerah ini untuk membekalkan elektrik kepada 31,508 pengguna.

Katanya, semua projek itu adalah untuk meningkatkan daya harap bekalan elektrik di kawasan Dungun agar masalah gangguan bekalan elektrik dapat diminimumkan dan memberi kepuasan kepada pelanggan.

Mengenai kenaikan kos arang batu daripada AS$85 satu tan pada tahun lepas kepada AS$115 satu tan tahun ini, beliau berkata ia agak membebankan TNB, namun tarif yang dikenakan kepada pengguna masih sama.

Bagaimanapun beliau berkata sebarang kenaikan tarif baru akan bergantung kepada keputusan kerajaan.

No comments:

Post a Comment