Zahraa Anuawar (kanan) memeluk rakan pasukannya Ummi Hamimah Ahmad selepas mereka berjaya menggondol pingat emas bagi acara akhir Pecut Berpasukan di Velodrome Cheras, Kuala Lumpur, 06 Jun. - Utusan
Pasukan Terengganu terus menguasai kutipan pingat apabila meraih dua pingat emas, satu perak dan tiga gangsa pada hari kelima temasya Sukan Malaysia Ke-14 isnin.
Secara keseluruhan, Terengganu kini mengumpul 22 pingat emas, lima pingat perak dan 10 pingat gangsa.
Acara berbasikal trek menjadi penyumbang utama dalam pungutan pingat apabila dua pingat emas dikutip menerusi acara wanita berpasukan sprint dan lelaki point race.
Pasukan Johor kekal berada di tangga kedua setelah mengumpul secara keseluruhan 13 pingat emas, 13 perak dan empat gangsa.
Negeri Sembilan pula menduduki tempat ketiga dengan kutipan 11 pingat emas, lapan perak dan 12 gangsa.
Sementara itu, dua atlet lawan pedang Johor tidak dapat beraksi hari ini kerana keracunan makanan.
Sebelum ini, pasukan polo air Melaka dan Wilayah Persekutuan mengalami keracunan makanan pada hari pertama temasya.
Jurulatih pasukan lawan pedang Johor Norhayani Md Noor berkata Shaidatul Syafiqah Abdul Hamid dan Rozainie Roslan sudah mendapatkan rawatan di Hospital Serdang.
Esok, sebanyak lapan pingat emas, lapan perak dan 11 gangsa ditawarkan pada hari keenam temasya iaitu empat emas dari acara berbasikal, tiga dari acara lawan pedang dan satu dari acara polo air.
No comments:
Post a Comment