Seorang wanita maut selepas van yang dinaiki bersama enam anggota keluarganya merempuh sebatang pokok di Jalan Lembah Bidong, berdepan Sekolah Rendah Kebangsaan Lembah Bidong, dekat Kuala Terengganu, pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Rohaizat Ani, berkata Reskah Baru, 55, dari Kampung Pondok Lalang, Batu Rakit, Kuala Terengganu meninggal dunia di tempat kejadian pada kira-kira jam 5.45 pagi akibat kecederaan parah di bahagian kepala.
Beliau berkata, ketika kejadian rombongan keluarga itu dikatakan sedang dalam perjalanan pulang dari Pokok Sena, Kedah selepas menghadiri majlis pertunangan anak saudara Reskah, Selasa lalu, dan van itu dipercayai dipandu oleh anak saudara Reskah yang baru bertunang itu.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kenderaan yang dinaiki tujuh beranak itu terbabas ke bahu jalan sebelah kiri sebelum merempuh pokok mengakibatkan Reskah Baru dan seorang adiknya tersepit.
Rohaizat berkata, bomba dari Balai Bomba Dan Penyelamat Kuala Terengganu mengambil masa kira-kira 15 minit untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit.
Mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu untuk bedah siasat.
No comments:
Post a Comment