Thursday, June 16, 2011

Warga Singapura Didakwa Rasuah Enam Pemain Bola Sepak T-Team

Seorang lelaki warga Singapura mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Shah Alam semalam terhadap enam pertuduhan memberi rasuah kepada enam pemain bolasepak T-Team Terengganu tahun lepas bagi mengatur keputusan satu perlawanan Piala Presiden antara pasukan itu dan Selangor.

R.K. Rajendran, 51, didakwa memberi suapan wang tunai RM200 masing-masing kepada Mohd Azwan Mat Ali, Muhammad Shariquddin Ibrahim, Mohd Nadzmeer Mohammad, Mohd Azuan Hussein, Mohd Hanifzam Muda dan Mohd Hafiz Mohd Noor pada 7 malam Mac tahun lepas di Hotel Grand Blue Wave di Shah Alam.

Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 16(b)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 Akta yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya Fadzilah Mohd Osman dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mencadangkan ikat jamin RM6,000 bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin warga Malaysia dikenakan terhadap Rajendran, dan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah.

Beliau memohon agar kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu kerana kebanyakan saksi adalah dari Terengganu.

Hakim M.Bakri Abdul Majid kemudian menetapkan ikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin warga tempatan dan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah.

Beliau juga menetapkan 30 Jun ini sebagai tarikh sebutan semula kes di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu.

Rajendran diwakili oleh peguam V.Shanmugam.

No comments:

Post a Comment