Sunday, July 24, 2011

Dua Syarikat Melombong Bijih Besi Fail Saman Terhadap Kerajaan Terengganu

Dua buah syarikat yang menjalankan aktiviti melombong bijih besi memfailkan saman terhadap kerajaan negeri Terengganu yang didakwa telah melanggar kontrak kerana tidak memperbaharui akujanji pajakan melombong di beberapa kawasan seluas 697 hektar di Bukit Besi, Terengganu.

Terengganu Anshan Iron & Steel Sdn Bhd dan China Anshan Corporation Sdn Bhd selaku plaintif turut menamakan Perbadanan Menteri Besar Terengganu sebagai defendan kedua dalam saman tersebut.

Saman itu difailkan menerusi Tetuan Bahari & Bahari di Pejabat Pendaftaran Mahkamah Tinggi Terengganu pada Jun lepas, dan pihak media memperoleh writ saman tersebut hari ini di Kompleks Mahkamah Jalan Duta, di Kuala Terengganu.

Turut hadir bertemu pihak media ialah pengarah di kedua-dua syarikat, Lawrence Lim Eng Khoon.

Berdasarkan pernyataan tuntutan itu, China Anshan Corporation Sdn Bhd yang ditubuhkan pada 1991 merupakan anak syarikat Anshan Iron & Steel Complex di China.

Penubuhan anak syarikat itu adalah untuk menjalankan usahasama melombong bijih besi dengan Kerajaan Negeri Terengganu, yang mempunyai pelan untuk menggalakkan dan mempromosikan perkembangan industri melombong di negeri itu pada 1989.

Menurut pernyataan itu, satu perjanjian usahasama telah ditandatangani oleh kedua-dua defendan bagi membangunkan industri galian di Terengganu pada 8 Julai 1990 dan berdasarkan surat akujanji bertarikh 12 Jun 1990, plaintif mendakwa tempoh pajakan selama 21 tahun itu hanya akan berakhir pada November 2013.

Bagaimanapun, plaintif mendakwa defendan pertama telah menolak permohonan plaintif pertama untuk memperbaharui pajakan melombong pada 29 Okt 2010 yang didakwa telah bertentangan dengan terma perjanjian.

Sehubungan itu, plaintif menuntut deklarasi bahawa akujanji yang telah diberikan oleh defendan pertama pada 12 Jun 1990 adalah sah dan berkuat kuasa dan plaintif-plaintif mempunyai hak kepentingan hak milik kepada kawasan melombong terbabit atas hasil kerja yang telah dibuat.

Plaintif juga memohon agar perintah untuk pelaksanaan spesifik ke atas defendan pertama yang mengarahkannya untuk mematuhi akujanji tersebut dan memohon perintah injunksi ke atas defendan-defendan yang menghalang sebarang pemberian kepada mana-mana pihak selain daripada plaintif.

Plaintif juga menuntut ganti rugi yang akan ditafsirkan oleh mahkamah bersama-sama ganti rugi teladan, kos dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

No comments:

Post a Comment