Thursday, July 7, 2011

Fama Ikat Perjanjian Jual Beli Sayur Dan Buah 13 Ladang Kontrak

Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Rabu menandatangani perjanjian kontrak jual beli dengan 13 buah ladang MOA Inc di Terengganu.

Pengarah Fama Wilayah Timur Mohd Ariffin Awang berkata perjanjian itu melibatkan seramai 99 peserta dan kawasan seluas 106.30 hektar dengan anggaran hasil 1,534.22 metrik tan bernilai RM1.24 juta.

"Perjanjian itu bagi menjamin pasaran dan seterusnya meningkatkan pendapatan petani," katanya kepada pemberita semalam selepas majlis menandatangani perjanjian jual beli ladang kontrak Moa Inc.

Beliau berkata kebanyakan petani yang menandatangani kontrak hari ini terdiri daripada petani di kawasan Setiu termasuk Kampung Undang, Dendong, Beris Tokku, Kampung Saujana, Kampung Nyatoh, Kampung Rhu 10, Bukit Perpat, Bari Pantai, Lembah Kolam dan Rhu Tapai.

Jenis-jenis komoditi yang dikeluarkan antaranya ialah keledek Vitato, cili merah, tembikai dan labu manis, katanya.

Mohd Ariffin berkata nilai pembelian ladang kontrak sehingga Jun lepas adalah 112.08 metrik tan sayuran bernilai RM243,994.06 dan 345.789 metrik tan buah-buahan bernilai RM206,373.80.

Katanya sasaran Fama tahun ini ialah untuk mengadakan 30 perjanjian ladang kontrak di negeri ini dengan melibatkan seramai 413 peserta dan keluasan tanaman 503 hektar.

Beliau berkata keluasan tanaman berdaftar di bawah Ladang Kontrak Moa Inc sehingga Jun ialah seluas 489.89 hektar dengan bilangan peserta seramai 277 orang.

Mohd Ariffin berkata Fama menyediakan pelbagai kemudahan kepada peserta ladang kontrak bagi memudahkan pengendalian hasil peserta-peserta ladang kontrak mendapat banyak manfaat termasuk bimbingan daripada Jabatan Pertanian, Mardi dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP).

No comments:

Post a Comment