Friday, July 29, 2011

Fama Tandatangani Ladang Kontrak Sembilan Kelompok

Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Khamis menandatangani ladang kontrak dengan sembilan kelompok yang terdiri daripada 56 orang petani di daerah ini.

Pengarah Fama negeri Hasan Jusoh berkata salah satu tujuan kontrak tersebut ialah untuk memastikan peladang dapat menikmati hasil jualan buah-buahan mereka dengan harga yang berpatutan dan stabil.

"Peserta yang terlibat dalam perjanjian kali ini ialah penanam tembikai tanpa biji dan labu mas," katanya kepada pemberita selepas majlis perjanjian jual beli ladang kontrak Fama di Setiu, semalam.

Hasan berkata mereka merupakan petani dari kawasan Telaga Papan, Saujana, Lampung Saujana Tambahan, Kampung Kubang Lokoh, Kampung Nyatoh dan Lembah Kolam Hijau.

Katanya luas keseluruhan tanaman yang diusahakan oleh petani bagi kedua-dua komoditi itu ialah 81 hektar, iaitu lapan hektar ditanam tembikai tanpa biji dan 73 hektar lagi ditanam labu mas.

Hasan menjangka hasil kedua-dua tanaman itu mencecah 967,000 metrik tan dengan nilai hampir RM1 juta.

Beliau berkata selain itu, Fama juga sedang rancak membuat pembelian labu madu daripada petani-petani di sekitar Kuala Terengganu untuk dipasarkan di bandar-bandar utama.

Katanya kawasan yang paling banyak mengeluarkan labu madu ialah Kampung Undang dan sasaran Fama ialah untuk membeli sehingga 93 metrik tan labu madu dari kampung tersebut sehingga akhir bulan ini.

No comments:

Post a Comment