Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor mahu isteri wakil-wakil rakyat memainkan peranan sama seperti suami mereka dengan sentiasa 'turun padang' mendampingi rakyat di kawasan masing-masing.
Beliau berkata, pendekatan sedemikian boleh dilakukan menerusi penganjuran dan penglibatan dalam pelbagai aktiviti kemasyarakatan yang mampu meraih sokongan golongan wanita kepada Barisan Nasional (BN).
Menurutnya, sempena kedatangan Ramadan tidak lama lagi, isteri wakil-wakil rakyat juga perlu kerap 'turun padang' berbuka puasa bersama penduduk kampung dan masyarakat setempat.
Katanya, selain menepati aspirasi 1Malaysia, Rakyat DiDahulukan, Pencapaian Diutamakan, beliau yakin penglibatan isteri wakil rakyat terlibat akan dapat mewujudkan kemesraan serta kepercayaan masyarakat setempat untuk terus menyokong BN.
"Lebih mustahak, para isteri wakil rakyat perlu mempunyai minda dan sikap terbuka. Jalankanlah tanggungjawab dengan penuh komitmen dan dedikasi dalam menjaga kawasan masing-masing.
"Rajin-rajinlah ikut suami balik ke kawasan, jenguk-jenguklah rakyat jelata dan teruskanlah khidmat bakti di tempat masing-masing melalui pelbagai aktiviti berorientasikan rakyat dan cara ini kita akan sentiasa dianggap relevan," katanya.
Rosmah yang juga Yang Dipertua Badan Amal Kebajikan Isteri Wakil-Wakil Rakyat BN (Bakti) berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Program Tahunan Isteri Wakil-Wakil Rakyat Barisan Nasional Se-Malaysia (PTIWRBNM) 2011 di Stadium Negeri di Kuala Terengganu, semalam.
Majlis perasmiannya disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said. Turut hadir, isteri Timbalan Perdana Menteri merangkap Naib Yang Dipertua Bakti, Puan Sri Noorainee Abd. Rahman dan isteri Menteri Besar yang juga Yang Dipertua Badan Amal dan Kebajikan Isteri Wakil-wakil Rakyat Terengganu (Serikandi), Toh Puan Seri Norliza Mahmud.
Sempena program itu, 14 kontinjen dari seluruh negara yang menghimpunkan 478 peserta menyertai kejohanan badminton dan tenpin boling selama tiga hari bermula semalam.
Rosmah menarik perhatian, rakyat memerlukan seorang wakil rakyat serta isteri masing-masing yang berjiwa besar dan sentiasa positif dalam menunaikan tanggungjawab.
Jika sebaliknya, jelas beliau, ia akan memberi kesan serta mengundang persepsi negatif kalangan masyarakat setempat terhadap suami mereka.
"Hendak tak hendak, suka atau tidak suka, sebagai isteri wakil rakyat, mereka harus pandai memainkan peranan masing-masing selaras dengan keperluan masyarakat setempat, apatah lagi pilihan raya sudah hampir tiba," ujarnya
No comments:
Post a Comment