Friday, July 8, 2011

Kasut Emas - Hadi Gembira, Norsharul Duka

Norshahrul Idlan Talaha mungkin gembira apabila impiannya bersama Kelantan merangkul Piala Liga Super.

Namun dia bersedih kerana terlepas Kasut Emas Liga Super musim ini gara-gara dipintas pada saat akhir penyerang Terengganu, Abdul Hadi Yahaya, malam Rabu lalu.

Abdul Hadi Yahya sebaliknya berjaya memenuhi impiannya memiliki Kasut Emas Liga Super selepas menghasilkan 20 gol tatkala jurulatih Irfan Bakti Abu Salim turut menumpang bangga selepas melahirkan tiga penjaring terbanyak Liga Super berturut-turut sejak 2009.

Abdul Hadi, penyerang muda skuad Harimau Malaya berkata, pencapaiannya itu menjadi sandaran buatnya untuk membantu skuad negara mengharungi kelayakan Piala Dunia 2014 zon Asia bersama gandingan senior seperti Safee Sali dan Norshahrul .

“Sebenarnya saya tidak sangka dapat jaringkan empat gol (bertemu FELDA United) dan ini semua adalah berkat usaha rakan sepasukan. Saya berbangga dapat membantu pasukan dengan menjadi penjaring terbanyak,” katanya yang sekali gus mengenepikan Norshahrul yang menghasilkan 19 gol.

Bagi Irfan, dia berbangga dengan pencapaian Terengganu apabila mampu membenam FELDA United dengan jumlah jaringan besar tetapi lebih menggembirakannya adalah sekal
i lagi melahirkan penjaring berbisa.

“Saya juga berbangga kerana tiga tahun berturut-turut, penyerang di bawah kendalian saya muncul penjaring terbanyak iaitu Mohd Ashaari Shamsuddin (2010) dan Mohd Nizaruddin Yusof (2009).

Kali ini giliran Abdul Hadi,” katanya sambil menambah skuad Terengganu akan terbang ke London minggu depan sebagai ganjaran menjuarai Piala FA bulan lalu.

Norshahrul yang berasal dari Besut Terengganu pula memang kecewa kerana selaku penyerang, beliau memang impikan Kasut Emas.

“Mulanya saya yakin dapat memenuhi impian itu selepas menyumbat dua gol, tetapi tidak sangka pula Abdul Hadi meledak empat gol dan memintas jumlah gol saya.

Namun, saya akui semuanya ketentuan takdir dan bukan rezeki saya.

Saya akan jadikan kehampaan ini sebagai pembakar semangat untuk menebusnya musim depan,” kata Norshahrul sejurus membantu Kelantan menewaskan Sabah 2-1 dan mengukir sejarah menjulang trofi Liga Super buat julung kalinya di Stadium Likas, malam kelmarin.

No comments:

Post a Comment