Sunday, July 10, 2011

Liga Super 2011 - Pencapaian Baik Terengganu?

Oleh www.ganusoccer.net

Terengganu menamatkan musim Liga Super 2011 di kedudukan terbaik mereka sejak format pertandingan ini dimulakan. Kemenangan besar 6-2 ke atas pasukan Felda United di Stadium Majlis Perbandaran Petaling Jaya menyaksikan skuad bimbingan Irfan Bakti mengumpul 53 mata, tiga mata di belakang juara, Kelantan.

Ia turut dibantu oleh keputusan seri tanpa jaringan pasukan Selangor yang bertemu Perak di Ipoh.

Di hari terakhir Liga Super malam Rabu lalu, Terengganu masih mempunyai peluang untuk muncul sebagai juara buat pertama kali tetapi ianya mengharapkan keputusan perlawanan-perlawanan lain akan berpihak kepada mereka.

Di akhir sembilan puluh minit hanya keputusan dari Ipoh sahaja menyebelahi mereka sementara di Kota Kinabalu kesungguhan pasukan Kelantan untuk tidak berputih mata lagi kepada pasukan jiran mereka mempastikan mereka menang tipis ke atas pasukan tuan rumah dengan jaringan 2-1.

Sedikit pengubat buat para penyokong Terengganu ialah kejayaan penyerang mereka, Abdul Hadi Yahya yang berjaya muncul sebagai penjaring terbanyak musim ini dengan 20 gol dan membawa pulang kasut emas buat musim kedua berturut-turut mengulangi kejayaan Ashaari Shamsuddin musim lepas.Hadi yang menjaringkan empat gol ketika di Kelana Jaya berjaya menidakkan keinginan penyerang Sang Kijang, Norshahrul Idlan Talaha yang turut menjaringkan di Stadium Likas.

Kedudukan kedua untuk pasukan Terengganu ialah satu peningkatan dari kempen musim lepas di mana mereka berjaya menduduki tempat ketiga. Ianya memberi harapan kepada para penyokong Terengganu untuk melihat pasukan Sang Penyu menjadi juara buat pertama kali di musim 2012 nanti.

Namun sebelum mereka memikirkan tentang musim hadapan, para pemain sudah pasti ingin melakukan yang terbaik dalam kempen Piala Malaysia 2011 yang dijangka akan bermula seminggu selepas sambutan Hari Raya Aidil-Fitri.

Mereka juga berpeluang untuk merehatkan minda dan fizikal apabila pergi bercuti ke London sebagai ganjaran memenangi Piala FA pada bulan Jun lalu.

Sementara itu pasukan kelab, PBDKT T-Team menamatkan kempen mereka dengan kekalahan 3-2 kepada pasukan Kuala Lumpur. Mungkin disebabkan oleh kedudukan mereka sudah terjamin dalam Liga Super, persembahan mereka ketika menentang pasukan ibukota mencerminkan perjalanan mereka sepanjang musim ini. Ketinggalan 2-0 mereka bangkit untuk menjadikan kedudukan 2-1.

Namun Kuala Lumpur melebarkan kembali kedudukan kepada 3-1 sebelum T-Team berjaya menjadikannya 3-2 dan walaupun berusaha untuk mencari gol penyamaan, mereka gagal dan kalah buat kali ke tiga belas musim ini.

Kedudukan di tangga ke sembilan sudah cukup untuk melayakkan mereka untuk bertanding dalam Piala Malaysia nanti tetapi sesuatu harus dilakukan untuk mempastikan persembahan mereka menjadi lebih mantap dan sekurang-kurangnya berjaya layak ke pusingan kalah-mati.

Kepada pasukan Terengganu, Tahniah di atas kejayaan muncul sebagai Naib Johan Liga Super 2011.

Kedudukan itu membolehkan Terengganu menerima RM300,000 daripada FAM.

No comments:

Post a Comment