Pemilik kenderaan, premis dan rakyat di negeri ini diminta mengibarkan Jalur Gemilang sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-54, seterusnya menimbulkan rasa tanggungjawab dan semangat patriotisme kepada negara.
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, semangat kemerdekaan perlu disematkan di setiap sanubari lapisan masyarakat tanpa mengira bangsa dan usia selain menggalakkan golongan muda untuk turut serta mengibarkan Jalur Gemilang.
Menurutnya, rakyat di negeri ini tidak seharusnya mengharapkan sumbangan Jalur Gemilang daripada kerajaan semata-mata, sebaliknya perlu menunjukkan rasa bangga dan bertuah terhadap kemerdekaan negara dengan turut sama membeli seterusnya mengibarkannya bersama-sama.
“Jangan harap sumba-ngan Jalur Gemilang daripada Kerajaan Negeri semata-mata, malah harganya juga tidak semahal mana pun dan ia lambang kita sebagai bangsa merdeka.
“Kita seharusnya berasa bangga dan bertuah kerana berpeluang untuk turut sama menyambut Hari Kemerdekaan negara ke-54. Semangat kemerdekaan perlu ditanam di setiap jiwa rakyat Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Kibar Jalur Gemilang sempena Sambutan Hari Kemerdekaan ke-54 Peringkat Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman, di Kuala Terengganu, malam kelmarin.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mazlan Ngah dan Ketua-ketua Jabatan.
Pada majlis itu, Kerajaan Negeri mengagihkan 30,000 Jalur Gemilang yang bertemakan ‘1Malaysia: Transformasi Berjaya, Rakyat Sejahtera’ untuk diedarkan ke seluruh daerah di negeri ini dan perlu dikibarkan bermula dari Majlis Pelancaran Bulan Kemerdekaan pada 27 Julai hingga 16 September ini.
Sementara itu, Ahmad berkata, satu majlis kesyukuran akan diadakan pada malam sambutan kemerdekaan dengan bacaan tahlil memandangkan sambutan kali ini jatuh pada bulan Ramadan dan majlis sambutan akan dilakukan pada 16 September bersempena hari penubuhan Malaysia.
Justeru, beliau mengharapkan semua lapisan masyarakat dapat menyemarakkan lagi sambutan dan perasaan cintakan negara serta melahirkan rasa syukur ke hadrat Ilahi atas nikmat pembangunan serta keamanan yang dikecapi kini.
No comments:
Post a Comment