Majlis Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (MAPO) akan menubuhkan pasukan petugas 'Mini MAPO' di setiap negeri bagi menyelaraskan kes-kes berkaitan jenayah pemerdagangan orang di negara ini.
Penubuhan pasukan petugas peringkat negeri itu diputuskan pada mesyuarat MAPO yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Tan Sri Mahmood Adam, Khamis.
Menurut MAPO, pasukan petugas itu akan diketuai oleh Ketua Polis Negeri dengan anggota-anggotanya terdiri daripada pelbagai agensi penguatkuasaan seperti Polis Diraja Malaysia, Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Pembangunan Wanita, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Pengarah Mahkamah, Ketua Unit Pendakwaan Negeri, badan bukan kerajaan NGO dan penguasa rumah perlindungan.
Bagi memantapkan pengurusan kes, Jabatan Peguam Negara juga akan melatih dua orang timbalan pendakwa raya di setiap negeri sebagai pakar rujuk untuk mengendalikan kes-kes pemerdagangan orang dan penyeludupan migran.
Statistik penguatkuasaan menunjukkan 343 kes pemerdagangan orang dilakukan melibatkan 490 tangkapan.
Seramai 2,022 mangsa diberikan perlindungan sementara dan 750 mangsa lagi diberikan perintah perlindungan.
Selain itu, sebanyak 12 kes penyeludupan migran dikesan yang melibatkan 20 tangkapan dan penahanan 267 migran, kata MAPO.
Pada masa ini, terdapat 92 mangsa wanita, 75 mangsa lelaki dan enam orang kanak-kanak yang diberikan perlindungan dan ditempatkan di rumah perlindungan kerajaan.
Sementara itu, Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan mengadakan Program Minda Setia 1Malaysia untuk memberi penerangan kepada pegawai-pegawai penerangan mengikut zon berhubung Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007.
Seramai 850 peserta menghadiri program itu di peringkat Zon Sabah, Zon Sarawak, Zon Utama yang terdiri daripada Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor, Zon Selatan yang terdiri dari Melaka, Negeri Sembilan, Johor dan Zon Timur yang merangkumi Kelantan, Terengganu dan Pahang.
Program itu juga akan diadakan di peringkat negeri bagi menjelaskan isu-isu berkenaan.
No comments:
Post a Comment