Saturday, July 30, 2011

Pegawai Kementerian Belia Dan Sukan Maut Dalam Kemalangan Di LPT

Seorang pegawai di Kementerian Belia dan Sukan maut, manakala rakan sekerjanya parah dalam kemalangan di Km 234.7 Lebuhraya Pantai Timur pagi semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan Supt Zulkifli Taha berkata dalam kemalangan 7.50 pagi itu, Azlina Fazlon Mohd Amin yang merupakan Setiausaha Bahagian Antarabangsa di kementerian tersebut, maut di tempat kejadian.

Kejadian berlaku berhampiran kawasan Rawat dan Rehat Kuantan ketika Azlina, 39, dan Salawati Jamaludin, 31, dalam perjalanan menghadiri program Rakan Muda Ramadan anjuran kementerian itu di Kemaman, Terengganu.

Kereta Perodua Alza yang dipandu Salawati dipercayai terbabas lalu merempuh penghadang jalan di sebelah kiri jalan, sebelum terbalik dan terseret sejauh 20 meter di atas jalan, katanya ketika dihubungi di Kuantan.

Salawati kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan, manakala jenazah Azlina difahamkan dibawa ke Putrajaya untuk dikebumikan selepas disembahyangkan di Masjid Saidina Ali, Bukit Sekilau pada 4 petang tadi.

Azlina yang berasal dari Johor Baharu meninggalkan suami dan empat anak berusia antara dua dan 12 tahun.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menyifatkan kehilangan Azlina sebagai suatu yang amat mendukacitakan.

Beliau berkata Azlina merupakan seorang yang cekap dalam melaksanakan tanggungjawab dan mempunyai rangkaian kerja yang berkesan.

"Saya dan kementerian bukan sekadar kehilangan seorang pegawai tetapi seorang pejuang yang gigih," katanya kepada Bernama.

Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negara Wasitah Mohd Yusof pula menyifatkan allahyarham yang telah berkhidmat sebagai Setiausaha Bahagian Antarabangsa di kementerian selama setahun setengah sebagai seorang pegawai yang aktif dan dinamik.

"Allahyarham amat signifikan dalam menguruskan hubungan diplomatik dan antarabangsa KBS (Kementerian Belia dan Sukan) dalam arena pembangunan belia dan sukan di peringkat luar negara," katanya.

No comments:

Post a Comment