Dalam keadaan inai masih merah di jari dan baru tujuh hari bergelar isteri, seorang wanita terpaksa berpisah sementara dengan suaminya apabila dia dijatuhkan hukuman penjara selama sebulan di Mahkamah Majistret, di sini, semalam.
Majistret Abdul Hayyi Salim menjatuhkan hukuman berkenaan selepas mendapati tertuduh, Asmahani Abdullah, 27, dari Lorong Masjid Haji Kadir, Pasir Panjang, di Kuala Terengganu, mengaku bersalah mencuri seutas rantai leher, dua loket dan seutas gelang tangan emas milik Wan Hasanah Wan Ibrahim, 28.
Mengikut fakta kes, tertuduh didakwa mencuri barang kemas Wan Hasanah yang juga sepupunya bernilai RM2,7000 di rumah mangsa kira-kira jam 8 pagi antara 10 Jun dan 16 Julai lalu.
Bagaimanapun, mangsa hanya menyedari barang kemas miliknya yang diletakkan di dalam almari di bilik tidurnya hilang kira-kira jam 8 malam pada 16 Julai lalu dan mengesyaki dicuri.
Pada 19 Julai lalu, tertuduh ditahan di kediamannya pada jam 3.15 pagi dan pada jam 4 petang hari sama, selepas disoal siasat, tertuduh membawa anggota polis ke sebuah kedai emas di Jalan Masjid Putih, di Kuala Terengganu.
Di kedai berkenaan, seketul logam berwarna kekuningan dipercayai emas dan satu salinan fotostat resit jual beli barang kemas tercatat nama tertuduh diserahkan oleh pemilik kedai berkenaan kepada polis.
Selepas itu, pada keesokan harinya kira-kira jam 1.30 petang, tertuduh membawa anggota polis ke sebuah lagi kedai emas di Jalan Sultan Mohamad lalu menunjukkan seorang perempuan yang dikatakan membeli loket emas berkenaan.
Tetapi wanita berkenaan memberitahu polis bahawa loket itu sudah dileburkan dan hanya menyerahkan seketul logam berwarna kekuningan dipercayai emas.
Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa, Inspektor Miky Dustan manakala tertuduh diwakili peguam bela, Mohd Hayyatuddin Muhamad.
No comments:
Post a Comment