Tuesday, July 12, 2011

Sebuah Oasis Ketenangan Bagi Pelancong Singapura

Oleh Tengku Noor Shamsiah Tengku Abdullah (Bernama)

Bagi warga Singapura yang mahu melarikan diri daripada kesibukan hutan batu dan merehatkan minda serta diri yang penat di pantai - Resort Aryani- merupakan destinasi yang dicari.

Lokasinya di pantai putih Terengganu berhadapan Taman Laut Negara Redang, bukan sahaja memikat mereka yang inginkan percutian yang damai, tetapi juga yang baru kahwin untuk berbulan madu tanpa diganggu.

Pengarah urusan Resort Aryani Raja Datuk Kamarul Bahrin Shah berkata: "Kami hanya ada 25 bilik untuk tetamu yang inginkan suasana sunyii termasuk mereka mereka yang berbulan madu dan juga tetamu yang bercuti selepas persaraan.

"Ia amat sesuai bagi mereka yang gemarkan sejarah serta tradisi. Mereka akan berasa selesa," kata beliau kepada Bernama.

Raja Kamarul Baharin berada di Singapura baru-baru ini untuk Seminar dan Pemasaran Percutian Terengganu, sebuah acara yang diadakan secara kerjasama antara kerajaan negeri dan Tourism Malaysia Singapura bagi menarik lebih ramai pelancong Singapura melawat negeri itu.

Kata Raja Kamarul Bahrin, memang tujuan pihak pengurusan resort menjadikan Aryani kecil.

"Hampir semua tetamu kami datang memberitahu yang mereka mahukan Aryani kekal seperti sekarang, bila mereka kembali lagi".

PRIVASI, KHIDMAT PERIBADI

Menurut Raja Kamarul Bahrin, kekuatan Aryani bergantung kepada privasi yang ditawarkannya kepada para tetamu selain perkhidmatan bercorak peribadi yang disediakan untuk 25 bilik yang tersedia.

"Itulah sebab kenapa tetamu kami datang kembali, ia satu pasaran tersendiri. Aryani menawarkan khidmat peribadi yang tidak boleh didapati di hotel lain," terang beliau.

Katanya sebagai sebuah hotel butik, petugas boleh mengenali tetamunya, bukan sahaja pada nama tetapi juga kegemaran mereka, keperluan, bila mereka mahu makan tengah hari dan sebagainya.

"Itulah perkara yang bermakna bagi mereka," kata beliau.

Kata Raja Kamarul Bahrin, selain daripada suasana dan sentuhan peribadi, tetamu meminati keindahan Terengganu yang memang merupakan satu ciri menarik di Aryani.

"Ia sesuatu yang tidak terdapat di hotel-hotel besar kerana bila hotel itu besar mereka ada sekatan dan hadnya. Bagi kami, kami ada ruang dan bebas untuk memberikan kelainan (apa saja)".

Kata Raja Kamrul Bahrin beliau bercadang menambah lagi beberapa bilik di hotel itu dalam fasa perkembangan Aryani yang selanjutnya tetapi akan memastikan ia tidak terlalu besar.

PASARAN EKSPATRIAT SINGAPURA

Tentang kadar penginapan di resort itu, kata Raja Kamarul Bahrin ia bukan satu masalah kerana kadarnya lebih kurang 80 peratus.

Kata beliau, Aryani pernah bergantung kepada tetamu dari Jepun dan kini mengalih perhatian pula pada pengunjung dari Singapura.

"Ramai pengunjung Singapura yang memandu dari negara mereka terus ke Terengganu dan menginap empat atau lima malam di Aryani.

Katanya terdapat potensi besar bagi pasaran Singapura terutama daripada bilangan warga ekspatriat yang menetap di sini.

"Kami harap mereka akan datang dan menginap di Aryani," tambah beliau.

"Apa yang kami tawarkan di Aryani adalah apa yang warga dari kota besar seperti Singapura mahukan. Mereka sudah biasa dengan kemudahan moden dan canggih yang ditawarkan di hotel," kata beliau.

Kata Raja Kamarul Bahrin: "Bila anda ke Aryani, anda akan kembali kepada perkara asas dan merasai erti kesederhanaan hidup dan cara kami melakukannya akan meredakan kecepatan dalam menjalani perjalanan seharian yang dilalui, dan itulah yang saya rasa yang diperlukan oleh para eksekutif"

"Anda perlu keluar dari senario urban. Itulah apa yang Aryani tawarkan, sebuah oasis yang penuh dengan kedamaian," katanya.

SENIBINA ARYANI YANG UNIK

Dari segi seni bina, Raja Kamarul Bahrin yang juga seorang arkitek, berkata Aryani menawarkan sesuatu yang unik bagi tetamunya.

"Setiap bahagian resort itu menggambarkan ciri Terengganu, daripada makanan yang kami masak dan hidangkan dan cara kami mempersembahkannya," katanya.

Katanya lagi, Aryani direkabentuk untuk memberi keselesaan bagi penginapnya tetapi Aryani tawarkan lebih daripada itu.

"Ia mahu memberikan satu rasa pengalaman kebudayaan kepada penginap. Bagi tujuan itu kami menggabungkan para arkitek, tukang ukir dan tukang kayu selain pemuzik tradisi".

Ciri-ciri unik di Resort Aryani adalah 'Suite Warisan', suite yang diperbuat daripada kayu yang diceraikan dan dibangunkan semula di resort itu.

Suite itu merupakan sebahagian daripada kompleks istana lama kediaman kerabat diraja dari kurun yang lampau.

Ia menawarkan satu pengalaman unik dari zaman dahulu, manakala unit Vila pula menawarkan taman peribadi serta laman mandi dalam taman itu.

No comments:

Post a Comment