Universiti Malaysia Terengganu (UMT) melatih sekumpulan penggiat perikanan dari Aceh, Indonesia dalam bidang perikanan dalam usaha mengembalikan industri itu setelah lumpuh akibat bencana tsunami tujuh tahun lalu.
Wakil Kedutaan Besar Indonesia, Menteri Kaunselor Politik Djoko Harjanto berkata seramai 2,879 guru, lebih 700 profesor dan pensyarah, 105 doktor perubatan dan 711 jururawat telah terkorban atau hilang semasa bencana itu.
"Pakar dan pengamal akuakultur yang mahir dalam bidang pembenihan ikan juga telah terkorban dalam tragedi yang menyayat hati itu dan sehubungan itu kita menghantar sekumpulan pemain industri dalam bidang ini di sini kerana UMT mempunyai kepakaran dalam bidang ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan kursus Akuakultur-teknik Pembiakan Ikan kepada 31 orang terdiri daripada kakitangan Jabatan Perikanan Aceh, Sekolah Vokasional Perikanan dan Pertanian Aceh serta beberapa orang dari universiti Aceh selama tiga minggu di UMT bermula kelmarin.
Djoko berkata, dengan kursus selama tiga minggu yang diadakan itu, ia diharap dapat membantu membangun sektor akuakultur yang telah lumpuh sejak bencana itu melanda.
Beliau berkata, kerjasama dalam latihan ini juga diharap dapat menjadi tapak untuk mengeratkan hugungan dua hala antara Malaysia dan Indonesia.
Sementara itu Naib Canselor UMT Prof Dr Aziz Deraman ketika ditemui berkata, kursus di bawah Institut Akuakultur Tropika (Akuatrop), merupakan sebuah pusat penyelidikan yang memfokus kepada penyelidikan dan pembangunan akuakultur air tawar dan juga marikutur.
Katanya, misi dan visi Akuatrop adalah untuk memberi khidmat nasihat dan pemindahan teknologi dalam industri Akuakultur melalui pengendalian kursus-kursus pendek, latihan, penganjuran bengkel dan seminar.
"Ramai pakar dan pengamal akualkultur Aceh yang mahir dalam industri pembenihan ikan semasa tsunami tujuh tahun lalu dan dengan kursus ini diharap dapat membantu melahirkan pakar-pakar dalam bidang perikanan, seterusnya dapat membangun semula industri itu di wilayah Aceh," katanya.
Sementara itu seorang peserta yang merupakan seorang guru sebuah sekolah perikanan di Aceh Asmawati M Isa, 39, ketika ditemui berkata beliau akan mengambil kesempatan pada kursus yang diadakan itu dengan mengikutinya bersungguh-sungguh.
No comments:
Post a Comment