Sunday, July 17, 2011

TMT 2013 Sasar Peningkatan 20 Peratus Jumlah Pelancong

Kerajaan negeri Terengganu mengisyhtiharkan 2013 sebagai Tahun Melawat Terengganu (TMT) dengan mensasarkan peningkatan pelancong sebanyak 20 peratus.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Datuk Rahin Mohd Said berkata, pada program TMT 2008 sebanyak tiga juta pelancong telah berkunjung ke Terengganu.

"Kita akan mempertingkatkan lagi usaha untuk memajukan sektor pelancongan di negeri ini disamping memberi nilai tambah semua tempat peranginan yang ada," katanya kepada selepas merasmikan Cabaran Hijau Gunung Berembun 2011 di Dungun.

Rahin berkata Tasik Kenyir di Hulu Terengganu yang mempunyai 10 buah pulau kecil yang dibangunkan sebagai destinasi tarikan pelancongan akan menjadi faktor utama pelancong untuk mengunjungi negeri Terengganu.

Di samping itu juga, pihaknya juga berusaha untuk menjadikan Gunung Berembun dan Air Terjun Chemerong, di sini sebagai salah satu tarikan pelancongan berikutan alam semulajadinya yang tidak terusik dan merupakan antara air terjun yang tertinggi di Asia Tenggara.

"Saya juga berhasrat menjadikan Hulu Dungun sebagai salah satu tempat pelancongan yang menarik sempena TMT 2013 dan acara Larian Mendaki Gunung Berembun akan dijadikan acara tahunan," katanya.

Menurut Rahin, kerajaan negeri akan menggandakan hadiah pada tahun depan untuk memastikan penyertaan yang lebih menggalakkan daripada peserta dari seluruh dunia.

"Saya akan berbincang dengan Jabatan Perhutanan Negeri untuk mencari jalan supaya para pelancong boleh ke Air Terjun Chemerong dengan lebih mudah tanpa perlu mendaki," katanya.

Sementara itu, Pejabat Kementerian Pelancongan Malaysia Negeri Terengganu akan menggunakan kempen '1Malaysia Green, 1Malaysia Clean' (1MG, 1MC) sebagai strategi terbaru menarik pelancong.

Penolong Pengarahnya, Mazshida Ruslal berkata kempen menghijaukan bumi dan menjaga kebersihan persekitaran di kawasan tumpuan diharap dapat menarik kedatangan pelancong dalam dan luar negara.

"Menerusi program ini, pelancong diberi peluang menanam pokok-pokok hutan di kawasan penginapan mereka atau di lokasi tumpuan pelancongan.

"Kita yakin mereka akan datang kembali untuk melihat pokok yang ditanam mereka, dan mungkin juga membawa rakan atau keluarga untuk menunjukkan hasil tanaman itu di sini," katanya kepada Bernama di Hutan Lipur Air Terjun Chemerong, di Dungun.

No comments:

Post a Comment