Harga ketam nipah mencecah RM28 hingga RM40 sekilogram. Gambar bawah, kerja diagnostik penyakit ketam.
Ketam nipah atau nama saintifiknya Scylla Serrata antara spesis raja sepit yang mempunyai permintaan tinggi di pasaran pada masa kini. Harganya yang mencecah RM28 hingga RM40 sekilogram membolehkan pengusaha ternakan itu menjana pendapatan lumayan berbanding ternakan akuakultur lain.
Namun, kesukaran mendapatkan benihnya menyebabkan industri ternakan ketam nipah tidak sepopular udang atau ikan sedangkan ia mempunyai masa depan yang cerah untuk ditingkatkan.
Melihat prospek itu, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan Pusat Pengeluaran Perikanan Ikan Laut, Jabatan Perikanan Malaysia, Besut, Terengganu bekerjasama menjalankan kajian pengurusan kesihatan dan penghasilan benih ketam nipah.
Penyelidik UMK, Dr Lee Seong Wei, berkata kajian memfokuskan usaha menghasilkan benih ketam nipah dengan menghuraikan perkembangan awal embrio dan larva bagi mengatasi masalah kekurangan benih ketam nipah semula jadi yang sering dibangkitkan penternak ketam nipah.
Selain itu, katanya, kajian turut menggambarkan sifat antibiogram dan profil logam berat daripada komuniti mikrob yang dipencilkan kepada ketam nipah selain mendedahkan sifat antimikrobial terhadap pengekstrakan tumbuhan herba dalam merencat pertumbuhan bakteria.
“Induk betina ketam nipah yang ditangkap dari laut akan dipelihara di dalam tangki fiber dan dibekalkan dengan air laut, oksigen, pasir pantai dan paip PVC. Ketam akan diberi makan dengan kepah setiap hari sebanyak 20 peratus daripada berat badannya dan penukaran sebanyak 50 peratus air tangki akan dilakukan pada setiap hari.
“Kualiti air pula perlu dikawal dengan parameter air yang optimum iaitu salinliti 30 ppt, oksigen terlarut melebihi 5 ppm, suhu antara 28 hingga 30 darjah Celsius dan pH antara 6.5 hingga 7.5,” katanya.
Dr Lee yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Agro Industri dan Sumber Asli (FASA) UMK berkata, secara semula jadi, ketam nipah akan bersalin kulit sebelum mengawan atau bertelur dan kebiasaannya ketam betina mampu mengeluarkan telur sebanyak tiga kali setiap kali proses mengawan.
Katanya, ketam betina pembawa telur yang dikenali sebagai berried female akan diasingkan dan diletakkan secara individu di dalam tangki penetasan bagi tujuan pengeraman dan penetasan telur.
“Pada masa itu, larva ketam nipah yang baru menetas dipanggil zoea akan dimasukkan ke dalam tangki ternakan dengan kadar segera dan diberi makan dengan rotifer, Brachionus Rotundiformis, Artemia Salina dan Chlorella sebagai makanan kepada rotifer sehingga ke peringkat megalopa.
“Seterusnya aktiviti pemencilan dan pengecaman bakteria daripada induk ketam nipah akan dilakukan dengan menggunakan lima medium berbeza dan dieramkan selama 24 hingga 48 jam pada suhu bilik,” katanya.
Beliau berkata, bakteria yang berjaya dipencilkan daripada induk ketam nipah kemudian diuji kerintangan terhadap 16 jenis antibiotik antaranya Nalidixic Acid, Oxolinic Acid, Compound Sulphonamides, Doxycycline, Tetracycline dan Novobiocin.
Bakteria yang sama juga diuji kerintangannya dengan empat jenis logam berat iaitu raksa, kromium, kuprum dan zink pada lima kepekatan berbeza yang berjulat.
Selain itu, jelas beliau, 30 jenis ekstrak tumbuhan herba yang terdapat di Malaysia diuji sifat kebolehan merencatkan pertumbuhan bakteria yang dipencilkan daripada ketam nipah.
“Pengekstrakan tumbuhan herba ini menggunakan 80 peratus metanol dan 20 peratus air suling yang dibiarkan selama 72 jam dan dikeringkan pada suhu 30 darjah Celsius.
“Kajian ini penting bagi menilai tahap kesihatan spesis ketam nipah bagi tujuan keselamatan makanan berdasarkan kepada bakteria yang berkaitan dengannya,” katanya.
Dr Lee berkata, bakteria yang dipencilkan ini mungkin daripada jenis patogenik yang bertindak sebagai vektor dalam pemindahan penyakit kepada manusia. Penggunaan antibiotik komersial sebagai rawatan kepada penyakit bakteria boleh menyebabkan risiko kepada kontaminasi persekitaran.
Justeru, katanya, pengekstrakan tumbuhan herba dilakukan bagi menggantikan penggunaan antibiotik yang terdapat di pasaran kini untuk merencat pertumbuhan bakteria.
“Kami berharap hasil daripada projek ini akan dimanfaat kepada para penternak ketam nipah yang menghadapi masalah kekurangan benih ketam nipah,” kata beliau.
Berita Harian
No comments:
Post a Comment