Wednesday, July 6, 2011

UMT Bimbing Petani Hasilkan Baji Kompos

Sebahagian peserta kursus pembuatan baja kompos dan campuran tanah mendengar taklimat daripada kakitangan Universiti Malaysia Terengganu di Pusat Pembangunan Komoditi Lembah Bidong, Setiu, baru-baru ini.

Universiti Malaysia Terengganu (UMT) berkongsi kepakarannya dengan masyarakat sekitar khususnya petani apabila mengadakan kursus pembuatan baja kompos dan campuran tanah baru-baru ini.

Kursus itu bagi memberikan maklumat tepat berkaitan pembuatan kedua-dua bahan itu bagi menggantikan bahan sedia ada yang digunakan oleh mereka bagi menjimat kos serta lebih menyuburkan tanaman.

Timbalan Dekan Fakulti Agroteknologi dan Sains Makanan UMT, Prof. Madya Dr. Najiah Musa berkata, ia dalam usaha membantu petani mendapat pulangan lebih besar daripada hasil keringat mereka.

"Mereka boleh hasilkan sendiri baja kompos ini dengan kos yang rendah menggunakan sabut kelapa, habuk kayu, pasir, sisa tanaman, kulit buah-buahan dan rumput-rampai," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa program itu di Pusat Pembangunan Komoditi Lembah Bidong baru-baru ini.

Hadir merasmikan program itu Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Ashaari Idris.

Program itu disertai oleh lebih 30 petani di kawasan tersebut yang mengusahakan tanaman keledek, jagung, serai dan pelbagai jenis buah-buahan seperti tembikai, buah naga dan rock melon.

Tambah Najiah, penggunaan baja itu mampu memberi penjimatan kepada petani kerana hasil daripada kajian yang dijalankan UMT, hampir 50 peratus kos sesuatu projek pertanian adalah kerana penggunaan baja.

Sementara itu, kata Ashaari, kerajaan negeri mengalu-alukan pihak UMT atau agensi lain untuk membimbing petani sehingga mampu mengguna dan memanfaatkan teknologi sedia ada.

"Walaupun pembuatan baja kompos sudah lama diperkenalkan, hasil penyelidikan itu tidak bermakna sekiranya petani gagal untuk mempelajari kaedah yang betul untuk dimanfaatkan," ujarnya.

No comments:

Post a Comment