Monday, August 15, 2011

650 Terima Duit Raya Tabung Haji, EPIC

Seramai 650 pelajar dan golongan kurang berkemampuan di daerah ini menerima duit raya yang disumbangkan oleh Lembaga Tabung Haji dan syarikat pegangan pelaburan milik kerajaan negeri, Eastern Pacific Industrial Corp. Bhd. (EPIC).

Duit raya berkenaan disampaikan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said dalam majlis berbuka puasa di Masjid Air Putih kelmarin.

Dalam ucapannya Ahmad berkata, sumbangan yang mencurah-curah daripada sektor korporat kepada golongan tidak bernasib baik menunjukkan keuntungan yang dijana turut dikongsi bersama masyarakat.

“Tanpa suasana persekitaran yang aman dan iklim perniagaan yang baik, tidak mungkin syarikat-syarikat ini mampu mencipta pulangan yang baik daripada pelaburan mereka.
“Inilah yang kita harapkan. Pencapaian yang mereka perolehi dikongsi bersama dengan insan yang memerlukan khususnya menjelang Aidilfitri,” katanya.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri Air Putih, Wan Hakim Wan Mokhtar; Ketua Pegawai Eksekutif EPIC, Ramli Shahul Hameed; Pengarah Tabung Haji negeri, Mohammad Mokhzani Mukhtar dan Pegawai Daerah Kemaman, Mohd. Kamil Othman.
Majlis anjuran Pejabat Daerah dan Tanah Kemaman itu dihadiri kira-kira 2,000 penduduk.

No comments:

Post a Comment