Friday, August 19, 2011

APMM Gerak Dua Kapal, Tiga Bot Kilat Kawal Perairan Negara Musim Perayaan

Dua buah kapal dan tiga bot kilat Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) akan digerakkan untuk mengawal perairan negara daripada pencerobohan sepanjang Hari Raya Aidilfitri ini.

Pengarah Operasi APMM Wilayah Timur Kapten Maritim Syed Mohd Fuzi Syed Hasan berkata dua buah kapal itu akan ditempatkan di kawasan zon eksklusif manakala tiga buah bot kilat di kawasan perairan wilayah.

"Kita tahu biasanya nelayan-nelayan asing terutamanya mengambil peluang menangkap ikan di perairan negara kerana mereka beranggapan perairan tidak dikawal pada musim perayaan," katanya kepada Bernama semalam.

Syed Mohd Fuzi berkata anggota APMM akan bekerja seperti biasa dan bergilir-gilir menjalankan tugas mengawal perairan negara sepanjang musim perayaan nanti.

Katanya tumpuan utama operasi musim perayaan ini akan terarah di kawasan-kawasan pelantar minyak di Kelantan dan Terengganu yang sering menjadi perhatian nelayan-nelayan asing sebelum ini.

Selain itu, dua buah kapal akan ditempatkan di kawasan Pulau Tioman iaitu di sempadan Malaysia-Indonesia bagi mencegah kejadian seperti rompakan dan pencerobohan.

Selain itu, beliau berkata APMM juga bersiap sedia menjalankan tugas mencari dan menyelamat sekiranya berlaku kemalangan di laut.

Syed Mohd Fuzi berkata dalam bulan Ramadan tahun ini, dua buah bot nelayan asing yang mencerobohi perairan negara telah ditahan oleh APMM iaitu di Pahang dan Kelantan pada minggu ini.

Bagaimanapun, beliau menyifatkan pencerobohan bot nelayan asing itu dalam bulan puasa ini berkurangan berbanding tahun-tahun sebelum ini.

"Ini mungkin kerana pengawalan yang ketat oleh APMM," katanya.

No comments:

Post a Comment