Sunday, August 7, 2011

Banteras Ragut - Kerjasama Orang Ramai Amat DiPerlukan

Analisis oleh Hambali Abdul Latiff


Selepas kes dua beradik diragut yang menyebabkan kedua-duanya terlantar di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), beberapa kejadian berkaitan ragut terbaru dilaporkan di negeri ini.

Kejadian termasuklah cubaan meragut rantai leher seorang nenek di Kampung Kerandang, Besut dan juga kejadian tersilap mangsa apabila anggota polis wanita yang cuba dijadikan mangsa di Bulatan Sultan Omar, Kuala Terengganu.

Dalam kedua-dua kes ini, suspek berjaya ditahan dengan bantuan orang ramai.

Ini bermakna bahawa dalam apa juga kejadian jenayah, kerjasama orang ramai amat diperlukan, sama ada tindakan spontan atau membuat laporan.

Malang sedikit apabila dalam kejadian yang menimpa dua beradik - Maleha Abdul Malek dan Mazida – mereka tidak berpeluang mendapatkan kerjasama orang ramai ketika diragut tetapi orang ramai tetap peka apabila kedua-duanya terlibat dalam kemalangan selepas mereka diragut.

Dengan bantuan orang ramailah mereka dihantar ke HSNZ.

Dalam kejadian ragut tersebut kedua-dua beradik itu yang bermotosikal dipercayai dalam perjalanan dari rumah mereka menuju ke Kompleks Sri Iman dekat Kuala Terengganu untuk mengambil Wang Dana Bakti Remaja telah diragut oleh seorang lelaki yang menunggang motosikal.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.30 pagi Ahad lalu, dua beradik itu dipercayai bertindak nekad mengejar peragut yang melarikan beg tangan mereka, namun motosikal mereka bertembung dengan sebuah lagi motosikal dari arah bertentangan di Jalan Kamaruddin di Kuala Terengganu.

Keadaan kakak dilaporkan stabil, tetapi adiknya Mazida yang hampir putus tangan sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) HSNZ dan sehingga kelmarin, masih belum sedarkan diri.

Kejadian ragut seperti ini yang tergolong dalam perbuatan jenayah yang memerlukan tindakan tegas dan kerjasama orang ramai mengatasinya. Apa juga kes jenayah memerlukan pendekatan bersepadu mencegah da mengatasinya dan kita sering diajukan dengan pertanyaan bagaimana menyelesaikannya.

Sebaliknya jarang kita menjadikan “pencegahan" sebagai jawapan merupakan jawapan kepada penyelesaian masalah ini, walaupun penguatkuasaan amat penting.

Yang penting kita mengenali jenis jenayah umpamanya ragut. Peragut selalunya bertindak di jalan atau lorong yang gelap atau sunyi. Lazimnya peragut menggunakan kenderaan seperti motorsikal atau kereta untuk melakukan kegiatan mereka.

Menurut laman sesawang Polis DiRaja Malaysia, peragut akan tertarik atau mengesan mengsa yang memakai barang-barang kemas yang sangat ketara dan mendedahkannya untuk tontonan orang ramai atau membawa membawa beg tangan dengan cara memudahkan peragut meragut.

Faktor lain yang boleh menyebabkan ragut ialah berebut-rebut semasa menaiki bas atau berada di tempat-tempat sibuk dan sesak atau meninggalkan beg-beg yang berisi wang di kaunter pintu masuk pusat membeli-belah semasa masuk membeli-belah.

Juga ketara dalam kes ragut ialah apabila seseorang menyimpan beg duit di kocek-kocek belakang yang tidak berbutang.

Menyebut mengenai pencegahan, apakah yang kita boleh lakukan mencegah perbuatan ragut?

Polis menasihatkan orang ramai sentiasa membawa wang secara minima serta selindungnya daripada pandangan umum supaya tidak menarik perhatian penjenayah.

Bagi wanita, mereka perlu membimbit atau mengepit beg tangan dan tidak disangkut atau disandang pada baju supaya ia lebih sukar diragut dan jika diragut boleh mengelak dari berlaku kecederaan kerana diseret.

Cara lain ialah elakkan daripada berjalan seorang diri di tempat-tempat sunyi atau semasa menaiki lif dan jangan mendedahkan barang-barang kemas yang dipakai.

Bagi yang berjalan di jalan raya, mereka perlu sentiasa berjalan secara bertentangan dengan arus lalulintas supaya dapat melihat apa jua kenderaan yang datang dari arah hadapan dan beg tangan pula dikepit atau dibimbit dengan tangan kanan.

Nasihat polis juga ialah elakkan daripada memakai barang-barang kemas secara berlebihan yang boleh menarik perhatian penjenayah selain elakkan meletak beg tangan yang mudah dicapai oleh orang lain umpamanya di atas kaunter, di dalam bakul pasar, bakul motosikal dan sebagainya.

Atau jika boleh, pasangkan alat penggera pencegahan ragut pada beg tangan.

Setelah setiap daripada kita sudah melakukan usaha pencegahan, kita serahkan kepada penguatkuasaan membabitkan polis serta agensi dan sukarelawan lain.

Lebih penting, masyarakat tempatan juga perlu membantu pihak berkuasa mencegah jenayah dengan cara menyalur pelbagai maklumat yang diperlukan bagi membolehkan mereka yang terlibat dengan jenayah dibawa ke muka pengadilan.

Selepas melawat dua mangsa ragut di HSNZ petang Selasa lalu, Menteri Besar, Datuk Seri Haji Ahmad Said berharap masyarakat tidak perlu takut memberi maklumat kepada polis jika mereka menjadi saksi kejadian jenayah, agar mereka yang tidak bertanggungjawab itu didakwa mengikut saluran undang-undang yang ditetapkan.

Yang penting dilakukan ialah jika orang ramai tengok kes ragut misalnya, mereka perlu lapor kepada polis jika mereka cam nombor pendaftaran kenderaan yang digunakan peragut.

Dalam konteks kerajaan negeri dan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), mereka boleh membantu dengan memasang video camera jarak dekat yang menampil dan merekam gambar pada waktu dan tempat tertentu atau CCTV.

Menurut Menteri Besar, kerajaan negeri sudah meluluskan permohonan untuk memasang 25 CCTV baru di sekitar bandaraya Kuala Terengganu bagi pelbagai tujuan, termasuk pemantauan lalu lintas dan mengesan kegiatan jenayah.

Diharapkan tambahan CCTV tersebut dapat membantu mengurangkan masalah jenayah di sekitar kawasan bandar Kuala Terengganu dan ketika ini MBKT sudah memasang 25 CCTV di sekitar bandar ini bagi tujuan yang sama.

Apa yang diharapkan, masyarakat semakin sedar mengelak dan mecegah jenayah sambil kerjasama antara polis, kerajaan negeri, MBKT serta pertubuhan bukan kerajaan akan mengurangkan jenayah di negeri ini, termasuk jenayah ragut.

Paling penting orang ramai perlu bertindak cepat membantu mangsa dan polis untuk menangkap penjenayah dan dihadapkan ke muka pengadilan.

Hanya dengan penguatkuasaan yang cekap dan berkesan akan mengurangkan kejadian jenayah disamping orang ramai terus bekerjasama untuk menjadikan Terengganu negeri yang aman dan selesa untuk didiami.

Nota: Sebahagian besar bahan sudahpun disiarkan melalui BIcara TerengganuKita melalui Terengganu fm 4 Ogos jam 1.30 tengahari.

No comments:

Post a Comment