Sunday, August 14, 2011

Cegah Kegiatan Pemcerobohan di Taman Negara Bersempadan Terengganu & Pahang

Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan sedang meningkatkan kawalan mencegah kegiatan pencerobohan di kawasan Taman Negara yang bersempadan antara tiga negeri, iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang, pada musim perayaan ini.

Pengarah Perhilitan Negeri Rahmat Topani berkata langkah itu bagi memastikan tiada pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan melakukan pencerobohan dan kegiatan haram di kawasan yang dilindungi itu ketika kebanyakan penduduk sedang membuat pesiapan menyambut Aidilfitri tidak lama lagi.

"Kita tidak 'tidur' dalam meneruskan tugas rutin, termasuk tugas khas dalam keadaan mana sekali pun, termasuk pada musim perayaan ini," katanya di Kota Bharu, kelmarin.

Beliau ditanya sama ada Perhilitan mewujudkan pasukan petugas khas mengawal kegiatan pencerobohan ketika kebanyakan umat Islam sedang asyik membuat persiapan menyambut perayaan Aidilfitri ini.

"Pihak kami akan terus meningkatkan kawalan bagi mengelak berlaku sebarang kemungkinan selain pemantauan rutin di kawasan berisiko tinggi serangan binatang liar terhadap penduduk di seluruh negeri," katanya.

Rahmat berkata gerakan pemantauan gandingan tiga negeri itu bukan saja tertumpu kepada menjaga keselamatan penduduk yang menghadapi ancaman binatang liar, tetapi mengawal kegiatan pemburu haram dan pencari gaharu di kawasan Taman Negara.

No comments:

Post a Comment