Wednesday, August 3, 2011

Dua Anggota Geng Samun Kedai 24 Jam di Kelantan, Besut Kena Tahan

Polis Kelantan menahan dua lelaki yang dipercayai anggota geng yang aktif melakukan samun di kedai-kedai 24 jam di sekitar Kelantan dan Besut, Terengganu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan, ACP Lai Yong Heng berkata kedua-dua suspek yang berumur 19 dan 20 tahun itu ditahan kira-kira pukul 7 pagi semalam selepas menyamun sebuah kedai 7 Eleven di Jalan Pantai Cahaya Bulan dekat sini.

"Kejadian samun itu berlaku kira-kira pukul 5.25 pagi semalam apabila dua jurujual di kedai itu didatangi dua suspek yang seorang daripadanya memakai topi keledar dan seorang lagi memakai topi.

"Sebaik memasuki kedai, kedua-dua suspek mengeluarkan parang dan mengacukan kepada dua jurujual itu sebelum mengarahkan mangsa mengeluarkan rokok dan duit yang ada," katanya kepada pemberita di sini Selasa.

Beliau berkata bimbang dan takut dengan ancaman suspek yang bersenjatakan parang, kedua-dua mangsa kemudian mengeluarkan sebanyak 56 bungkus rokok dan wang tunai sebanyak RM48.10 untuk diserahkan kepada suspek.

Lai berkata selepas mengambil kesemua rokok dan wang tunai itu, kedua-dua suspek bergegas melarikan diri dengan sebuah kereta jenis Proton Wira dan menuju ke arah Kota Baharu.

"Bertindak atas maklumat, pihak polis sempat mengejar kenderaan itu yang dinaiki lima lelaki termasuk dua suspek.

"Selepas kira-kira 15 minit kejar mengejar, pihak kita berjaya menahan dua lelaki di kawasan semak berhampiran Taman Sari di sini manakala tiga lagi lelaki berjaya meloloskan diri dengan meninggalkan kenderaan itu," katanya.

Beliau berkata hasil pemeriksaan di dalam kenderaan itu pihaknya menemui beberapa barangan antaranya rokok, seguni beras, dua bilah parang, dua buah telefon bimbit, serangkai kunci motosikal dan serangkai kunci kereta.

Lai berkata kedua-dua suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan 397 Kanun Keseksaan.

Katanya penahanan dua suspek itu dipercayai dapat membantu menyelesaikan 13 kes samun kedai 24 jam termasuk kedai 7 Eleven di sekitar negeri ini dan Besut di Terengganu.

"Namun kita percaya kumpulan geng samun kedai 24 jam ini terdiri dari tujuh orang ahli termasuk kedua-dua suspek dan kita kini sedang memburu lima lagi suspek lain dan meminta orang awam atau saksi kejadian tampil menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan," katanya.

No comments:

Post a Comment