Monday, August 1, 2011

E-Syariah Mudahkan Urusan Perceraian

Penggunaan sistem e-syariah di mahkamah syariah di Terengganu terbukti berjaya menyelesaikan perbicaraan kes perceraian dengan mudah dan cepat, kata Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu, Datuk Ismail Yahya.

Beliau berkata, e-syariah memudahkan mahkamah untuk mencari dan mengesan tuntutan perceraian pasangan kerana melalui sistem itu kes akan dikesan sama ada sudah berdaftar mahupun tidak dengan Mahkamah Syariah lain.

Bercakap kepada pemberita pada Majlis Penyampaian Dana Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) di Kuala Terengganu semalam, Ismail berkata Mahkamah Syariah di negeri itu dinobatkan sebagai Mahkamah Syariah terbaik di Malaysia selepas berjaya menyelesaikan kes mengikut tempoh ditetapkan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM).

Turut hadir pada majlis tersebut Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Negeri, Khazan Che Mat, bagi menyampaikan dana kepada ibu tunggal yang terbabit dalam kes perceraian yang belum selesai.

Ismail berkata, melalui sistem ini kes perceraian dapat diselesaikan hanya dalam jangka masa enam minggu namun apa yang melambatkan kes selesai adalah penyediaan alasan penghakiman.

"Kita akan mampercepatkan penyelesaian alasan penghakiman ini dalam masa satu jam saja dengan mewujudkan sistem e-filing yang akan dilampirkan terus ke e-syariah.

"Melalui alasan penghakiman tersebut, kita akan menyelesaikan kes dalam masa enam minggu dan tempoh paling lama 180 hari," katanya.

No comments:

Post a Comment