Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bersama Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyaksikan penggabungan perkongsian usaha sama di antara CJ CheilJedang Corporation dari Korea Selatan dan Arkema SA (ARKEMA) dari Perancis dalam bioteknologi perindustrian negara di Putrajaya, hari ini.
Malaysia mendapat satu pelaburan bioteknologi perindustrian RM2 bilion di Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) apabila CJ Cheiljedang Corporation dari Korea Selatan dan Arkema SA dari Perancis hari ini mengumumkan penubuhan loji bio-metionina yang pertama di dunia dan platform tiokimia yang pertama di Asia, di Zon Ekonomi Khas ECER (SEZ), Taman Polimer Kertih, Terengganu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang menyaksikan pengumuman itu, berkata projek itu dijangka menjana kesan limpahan yang ketara dan menggalakkan aktiviti ekonomi baru seperti penjanaan wap menggunakan sumber diperbaharui.
Najib berkata, projek itu dijangka menjana kira-kira RM20 bilion jualan kumulatif menjelang 2020 dan menyediakan peluang pekerjaan yang besar kepada hampir 500 pekerja berpengetahuan tempatan.
"Projek itu akan menjadi rangsangan yang ketara kepada ECER dan khususnya SEZ itu," kata Najib pada majlis pengumuman antara CJ-Arkema, Perbadanan Bioteknologi Malaysia (BiotechCorp) dan Majlis Pembangunan ECER (ECERDC).
BiotechCorp dan ECERDC adalah pencadang utama projek itu.
CJ Cheiljedang adalah peneraju pengeluar produk berasaskan penapaian seperti asid amina makanan, monosodium glutamat dan nukleotida dengan mempunyai operasi pengeluaran dan perniagaan global di enam benua manakala Arkema adalah syarikat kimia global dan peneraju pengeluar kimia Perancis.
Loji pengeluaran 80,000 tan metrik bio-metionina dan platform tiokimia itu akan dibina di atas tapak seluas 70 hektar tahun depan dan akan beroperasi pada 2013.
Ini akan menjadi pencapaian bagi industri bahan tambahan makanan global kerana bagi pertama kalinya, pengeluaran bio-metionina akan menyatukan kedua-dua bioteknologi canggih dan kimia gunaan.
Bio-metionina adalah belerang asid amino yang banyak digunakan bagi makanan haiwan di Asia.
Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Datuk Jebasingam Issace John, berkata loji itu bernilai kira-kira AS$400 juta.
Issace juga menyatakan bahawa ECERDC mensasarkan untuk menjana pelaburan tahunan kira-kira RM5 bilion.
"Bagi tahun ini, kami akan menerima pelaburan melebihi sasaran kami menjelang Oktober," katanya sambil menyatakan bahawa projek bernilai kira-kira RM20 bilion, daripada RM48 bilion yang diperolehi sehingga ini, sudah dilaksanakan.
No comments:
Post a Comment