Rancangan Gedung Makanan Negara (GMN) menjadi aset penting kepada Felda dalam jangka masa panjang sekiranya sawit tidak lagi mampu memberikan pendapatan lumayan pada masa akan datang.
Penasihat Khas (Felda) kepada Perdana Menteri Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor berkata, ini kerana semakin banyak negara melibatkan diri dengan pengeluaran komoditi tersebut seperti Indonsia serta Papua New Guinea dan dikhuatiri Malaysia tidak lagi akan mampu bersaing dengan mereka pada masa akan datang.
Sehubungan itu, katanya, adalah penting untuk semua pihak termasuk pengurusan Felda dan warga peneroka sendiri mengambil langkah konsisten menjayakan pelan tersebut dalam tempoh 10 tahun ini.
"Pada masa kini saya telah dimaklumkan pengurusan Felda sedang ambil tindakan mengikut perancangan yang diatur dalam pelan tindakan yang telah disediakan.
"Fasa pertama dalam tempoh 10 tempoh ini amat penting untuk melaksanakan pelan tindakan awal kerana perkembangan seterusnya akan dibuat berdasarkan perkembangan fasa awal ini," katanya kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa dan penyampaian sumbangan hari raya kepada masyarakat Felda di Masjid Felda Seri Bading di Kuala Berang, semalam.
Katanya, langkah awal membiasakan masyarakat Felda dengan bidang yang berkaitan telah pun dilakukan dengan projek penanaman pisang dan ternakan ikan talapia secara besar-besaran.
"Penternakan ikan talapia dan pisang hanya merupakan permulaan untuk mereka menceburkan diri dalam bidang tersebut sebelum terlibat dengan bidang yang mampu memberikan pulangan yang lebih besar perusahaan ternakan rumpai laut," katanya.
Katanya, selain penanaman pisang, penternakan ikan talapia dan rumpai laut, beberapa bidang lain yang dikenalpasti untuk diceburi oleh Felda menerusi rancangan GMN termasuk ternakan lembu dan perusahaan sarang burung walit.
Beliau berkata, berbekalkan pengalaman getir menjadi peneroka Felda sebelum ini dan kemudahan infrastrutur yang telah ada, masyarakat Felda diyakini mampu untuk merealisasikan hasrat Perdana Menteri untuk melihat rancangan Felda menjadi GMN utama pada masa akan datang.
No comments:
Post a Comment