Orang ramai di sini terkejut kerana harga kelapa meningkat antara RM2 dan RM2.50 sebiji berbanding RM1 hingga RM1.20 sebiji sebelum ini.
Para penjual kelapa mendakwa bahawa kenaikan harga kelapa itu disebabkan kelapa tiada dan juga bekalannya berkurangan.
Tinjauan di Pasar Payang di Kuala Terengganu, kelmarin mendapati tidak ramai peniaga menjual buah kelapa dan harganya melambung menyebabkan orang ramai mengeluh dan merungut.
Seorang peniaga di pasar itu, Kamariah Hassan, 40, ketika ditemui berkata, kenaikan harga kelapa itu tidak dapat dielakkan kerana harga di peringkat pembekal agak tinggi disebabkan bekalan tiada.
"Hari ini pun susah nak cari bekalan kelapa," katanya.
Bagaimanapun, harga santan kelapa yang dijual di Pasar Payang hari ini didapati tidak naik dan masih kekal RM9 sekilogram seperti sebelum ini.
Sehubungan itu, orang ramai berharap pihak berkuasa memberikan perhatian terhadap harga kelapa yang naik secara mendadak memandangkan kelapa banyak digunakan pada Ramadan ini.
Sementara itu, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) ketika dihubungi memberi jaminan bekalan kelapa mencukupi di Terengganu bagi memastikan harga stabil.
Pengarah Fama negeri Hasan Jusoh berkata, pihaknya kini berusaha mencari bekalan kelapa tempatan dan akan mengimport dari luar jika perlu.
Beliau berkata, penjual kelapa mungkin mengambil kesempatan menaikkan harga kelapa dalam suasana umat Islam menyabut Ramadan.
No comments:
Post a Comment